suria

Setiap malam dengar bayi menangis di rumah sewa baharu! Gadis nekad tanya jiran, nasihat pakcik mesin rumput ada makna

Fiza dihantui bunyi tangisan bayi saban malam sejak berpindah ke rumah sewa baharu. -Gambar hiasan

"FUHHH akhirnya settle angkut barang!"

Fiza menghenyakkan punggungnya di sofa bagi melepaskan keletihan selepas beberapa hari menguruskan perpindahan ke rumah sewa baharunya yang terletak di sebuah taman perumahan di Semenyih.

Dia memilih untuk berpindah kerana rumah 'corner lot' jenis teres dua tingkat itu terletak lebih dekat dengan tempat kerjanya.

Memandangkan dia bakal mendirikan rumah tangga beberapa bulan sahaja lagi dengan tunangnya, Faris, Fiza mengambil keputusan untuk menyewa bersendirian.

Petang itu, selepas siap mengemas serba sedikit barang, Fiza keluar ke pasar raya bagi membeli barangan dapur kerana dia sememangnya seorang yang gemar memasak.

Ketika sedang mengunci pagar, Fiza perasan dua orang wanita berusia dalam lingkungan 40an yang merupakan jiran bertentangan rumahnya sedang bersembang dan melirik pandangan ke arahnya sekali sekala.

Fiza hanya melemparkan senyuman dan sekadar mengangkat tangannya tanda hormat, sebelum masuk ke dalam kereta.

Malam pertama di rumah sewa baharu

Selepas menikmati nasi goreng yang dibuat sendiri, Fiza bermalas-malasan di ruang tamu sambil menonton televisyen.

Fiza lega keesokan hari dia tidak bekerja kerana sengaja mengambil cuti tambahan untuk merehatkan badan selepas penat mengemas.

"Esok aku nak upah tukang mesin rumputlah... Risau pula ada ular atau haiwan liar bersarang," getus hati Fiza.

mistik 1

Tidur Fiza terganggu apabila mendengar bunyi tangisan bayi di tengah malam. -Gambar hiasan

Ketika jam menunjukkan pukul 11.30 malam, Fiza naik ke tingkat atas untuk tidur.

Dia sengaja memasang lampu di luar rumah kerana tidak mahu kawasan di hadapan dan tepi rumahnya gelap.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri lari malam! Tak tahan kongsi rumah sewa dengan penunggu... ‘Dia’ tumpang main kereta mainan, petik kipas...

ARTIKEL BERKAITAN: Pindah dari Kelantan ke PJ, rumah sewa murah rupanya berhantu! Mulanya nak bertahan sebab ‘sayang deposit’, akhirnya ‘cabut’ juga

Ketika matanya berat dan hampir terlelap, Fiza terdengar sayup-sayup suara seakan-akan bayi sedang menangis.

"Baby siapalah pula menangis macam kena dera ni..." bisiknya perlahan.

Namun disebabkan badan yang agak kepenatan, Fiza enggan mengambil pusing lalu terus memejamkan matanya sehingga akhirnya lena dibuai mimpi.

Pesanan tukang mesin rumput

Pukul 9 pagi, seorang tukang mesin rumput tiba di hadapan pagar rumah Fiza.

Dia berjaya menghubungi tukang mesin rumput tersebut selepas mendapat nombor telefon daripada seorang pemilik kedai runcit berhampiran rumahnya.

Fiza hanya memerhatikan tukang mesin rumput bernama Pak Arman itu melakukan kerja serta membersihkan halaman dari dalam rumah sambil membakar kek mentega.

Kira-kira pukul 12.00 tengah hari, Pak Arman pun siap melakukan tugasannya.

"Terima kasih Pak Arman. Ini upahnya ya... dan ini kek mentega, saya buat tadi. Pak Arman bawa balik makan dengan famili," kata Fiza sambil menghulur sekeping sampul dan satu bekas makanan yang berisi kek hasil air tangannya.

"Buat susah-susah je Cik Fiza," kata Pak Arman sambil tersenyum dan meletakkan bekas kek ke dalam raga motosikalnya.

Perbualan mereka berdua tidak terhenti di situ, sebaliknya Pak Arman memberikan nasihat kepadanya.

mistik 3

Pesanan Pak Arman kepada Fiza mempunyai maksud tersirat. -Gambar hiasan

"Cik Fiza baru pindah masuk rumah ni kan? Jangan lupa azan... ajak orang mengaji sikit dan solat berjemaah. Pak Arman bukan apa, sajalah pesan memesan... lagipun, itu kan adab masuk rumah baharu," kata Pak Arman dengan sopan.

"Owhh ya... betul kata Pak Arman. Saya pun ada terfikir nak buat tapi belum berkesempatan. InsyaAllah nanti bila cuti, saya akan buat. Terima kasih Pak Arman," balas Fiza.

Gangguan aneh

Pejam celik, sudah hampir sebulan Fiza menetap di rumah sewa baharunya.

Sebenarnya, boleh dikatakan hampir setiap malam Fiza terdengar bunyi tangisan bayi namun dia menganggap ia adalah tangisan anak jiran-jirannya.

Namun, peristiwa terbaharu membuatkan konsentrasi kerja Fiza terganggu sehingga rakan sepejabat menegur dirinya seperti banyak termenung dan mata sedikit sembap.

Mana tidaknya, Fiza hampir tidak dapat melelapkan mata sehingga subuh selepas dia terjaga apabila terdengar tingkap biliknya seperti dibaling batu beberapa kali.

"Ishhh tak boleh jadi ni... aku hampir terlupa pesanan Pak Arman," kata Fiza.

Terbongkar misteri tangisan bayi

Petang itu, ketika sedang membuka pagar rumahnya selepas tiba dari pejabat, Fiza ternampak dua jiran di hadapan rumahnya sedang bersembang.

Dia mengambil keputusan untuk menegur mereka kerana tidak berkesempatan berbuat demikian sebelum ini.

mistik 2

Selepas bunyi tangisan bayi, Fiza diganggu pula dengan bunyi balingan batu pada tingkap bilik tidurnya. -Gambar hiasan

Selepas memperkenalkan diri, Fiza berbasa basi bercerita mengapa dia berpindah ke rumah sewa baharunya.

"Fiza okay ke tinggal seorang di rumah?" Tanya seorang jirannya yang memperkenalkan diri sebagai Kak Wati.

Entah kenapa, mulut Fiza ringan pula bercerita mengenai bunyi tangisan bayi yang didengarinya saban malam.

"Rumah sebelah kanan saya tu macam tak ada orang... mungkin anak jiran depan-depan ni kot," kata Fiza.

Ketika itu, Kak Wati dan seorang lagi jirannya bernama Kak Samsiah saling berpandangan dan riak wajah mereka seperti menyembunyikan sesuatu.

Akhirnya, selepas didesak Fiza, Kak Wati pun membuka cerita.

"Jiran kanan Fiza sebenarnya dah lama tak duduk rumahnya... katanya nak cari penyewa. Tapi rasanya dah enam bulan, masih tak ada penyewa. Dia bekerja dekat Kuala Lumpur.

"Sebenarnya, rumah Fiza sekarang ni, penyewa sebelum Fiza pindah sebab tak tahan kena kacau. Asyik dengar bunyi budak menangis dan tingkap kena ketuk, baling batu.

"Akak tak berniat nak takutkan awak... tapi tahun lepas ada kes jenayah. Penyewa yang dahulu tanam bayinya di belakang rumah... dia menyewa seorang diri juga.

"Terlanjur sehingga mengandung... dia bersalin seorang diri di rumah. Bila ke hospital sebab ada komplikasi, akhirnya semua terbongkar. Itu yang kami hairan bila nampak ada penyewa baru masuk rumah tu," cerita Kak Wati panjang lebar.

Terlopong Fiza mendengar cerita Kak Wati dan Kak Samsiah.

Tidak tunggu lama, dia segera masuk ke dalam rumah dan mengambil pakaian serta barangan penting.

Fiza nekad, malam itu dia mahu menumpang tidur di rumah rakan sepejabatnya, Asyikin.

Dia juga nekad mahu mencari rumah sewa baharu biarpun terpaksa mengharungi kepenatan sekali lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain