RAMAI yang merancang ingin mengabadikan waktu persaraan dan usia emas di kampung halaman bagi menikmati ketenangan yang jauh daripada hiruk pikuk kota. Begitulah hasrat yang disuarakan Adam kepada isterinya, Salmah sebelum ini. Namun pasangan itu sama sekali tidak menyangka bakal berdepan mimpi ngeri. Segalanya bermula selepas sebahagian tanah bersama dusun yang dibeli di Temerloh, Pahang diratakan untuk membina villa kediaman. Apa yang pelik, semasa proses meratakan tanah seluas satu relung atau kira-kira 0.7 ekar tersebut dia dan isteri tidak mengalami sebarang perkara aneh bahkan urusan berkaitan pembinaan mudah dijalankan. Pokok tunggal hanya dikelilingi tumbuhan renek sahaja. -Gambar hiasan Kawasan lapang tersebut membuatkan mereka berdua melihat dengan jelas sebatang pokok yang tumbuh tinggi di atas dua busut jantan. “Pelik juga tengok pokok tu, kenapa ia tumbuh tinggi berbanding pokok-pokok sekitar dan dikelilingi busut. “Kawasan sekitar pun bersih macam dijaga rapi,” luah Salmah kepada suaminya. Meskipun pelik melihat keadaan pokok itu, mereka menganggapnya sebagai petanda laluan untuk tuan tanah sebelum ini ke kawasan dusun pada waktu malam. Namun selepas kira-kira sebulan mereka berpindah dan mendiami villa yang siap dibina, pelbagai perkara pelik telah berlaku. ARTIKEL BERKAITAN: Seram didatangi gadis muka buruk, guna phone Nokia! Sedih dapat tahu kisahnya, roh tak tenang selepas kemalangan Badan Salmah dipenuhi kesan lebam terutama di bahagian pahanya. Hampir setiap malam dia akan mendengar bahagian kepala katilnya seolah-olah dicakar kucing. “Abang, mungkin ada tingkap yang tidak ditutup rapat atau kucing boleh masuk melalui bumbung rumah. Setiap malam bunyi cakaran pada kepala katil ni,” ujarnya sambil membelek kesan lebam baharu pada lengan. Kata-katanya mengejutkan Adam kerana dia tidak pernah mendengar bunyi cakaran yang disebutkan Salmah bahkan tidurnya sentiasa nyenyak sahaja. Walaubagaimanapun, dia tidak mengabaikan aduan daripada Salmah dan terus mendapatkan bantuan perawat Islam di kawasan kampung tersebut. Sesetengah individu percaya busut adalah sarang makhluk halus. -Gambar hiasan Semasa ustaz berkenaan hadir, suasana di rumahnya tiba-tiba menjadi kacau bilau di samping tiupan angin yang kuat. Ustaz juga terus menuju ke pokok tunggal itu tanpa masuk ke rumah terlebih dahulu. Selepas laungan azan dilaungkan, Salmah terkejut melihat satu lembaga hitam berbulu tebal dengan muka bengis dan mulut besar, turun dari atas pokok tersebut seperti mahu menerkam ustaz. Pokok tunggal tersebut tiba-tiba bergoyang kuat walaupun tiada tiupan angin yang dirasai. Sejurus berada di tanah, lembaga hitam kelihatan sangat besar dan tinggi, matanya juga merah. Pokok menjadi lokasi 'tanam' makhluk halus selepas tuannya meninggal dunia. -Gambar hiasan Terdapat lendir mengalir keluar dari mulutnya ketika berdiri berhadapan dengan ustaz. Namun selepas beberapa ketika, keadaan kembali tenang dan ustaz datang menemui Adam bersama isterinya. “Bagi isteri encik Adam basuh muka dan minum pagi sehingga air botol ni habis ya. InsyaAllah dia akan kembali seperti biasa. “Kalau boleh, en Adam upahlah sesiapa untuk tebang pokok tunggal dan musnahkan busut tu... tak elok sebenarnya busut seperti itu berada di kawasan tanah kita,” ujarnya ringkas sebelum meminta izin untuk pulang. Adam dan Salmah juga enggan bertanya lanjut mengenai kejadian di pokok tunggal tersebut dan berharap dapat menebangnya secepat mungkin seperti yang disarankan. Selepas villa mereka didatangi ustaz berkenaan, Salmah tidak lagi terganggu dengan bunyi cakaran mahupun dipenuhi kesan lebam. Mereka kembali hidup selesa seperti perancangan awal semasa membeli tanah bersama dusun berkenaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube