suria

Tersandung kaki meja, kepala terhantuk pada bucu sofa... Duda jatuh pengsan, disergah penunggu rumah sewa!

Seorang lelaki diganggu makhluk halus di dalam rumah sewanya. -Gambar hiasan

SELEPAS berpisah dengan isterinya sekitar seminggu yang lalu, Haziq membawa diri jauh ke ibu kota meninggalkan kampung halaman yang terletak di Perak.

Memandangkan pasangan yang sudah berkahwin selama lapan tahun itu tidak dikurniakan zuriat, urusan penceraian mereka menjadi lebih mudah.

Kini si duda ini tinggal bersendirian di rumah sewanya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, dan bekerja di sebuah syarikat insurans berdekatan.

"Kami memang dah tak jumpa terus lepas berpisah haritu. Sementara nak biasakan diri uruskan rumah sendirian, saya upah seorang makcik sebagai pembantu rumah yang dibayar mengikut waktu kerja dia.

"Biasanya makcik warga Indonesia bernama Kamisah ni datang kemas rumah waktu saya sudah di tempat kerja jadi dia ada kunci spare (pendua) untuk senang dia keluar masuk.

"Lagi pula saya selalu balik waktu senja sebab kesesakan lalu lintas. Tapi setiap kali balik, semuanya sudah diuruskan makcik ni termasuklah cuci dan gosok pakaian untuk dipakai ke tempat kerja esok," jelasnya.

Pada suatu hari, Haziq pulang sedikit lewat iaitu sekitar pukul 10 malam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Byzura Mat Jusoh prepare to wash clothes and dishes after water supply is back at her house in Puncak Alam .AZHAR  MAHFOF/The Star (6/9/2020)

Haziq mengambil upah pembantu rumah untuk menguruskan rumahnya. -Gambar hiasan

Seperti biasa, Haziq ini meletakkan kereta Perodua Bezza miliknya di tingkat tujuh lalu menaiki lif ke tingkat 13 di mana rumahnya berada.

Sepanjang perjalanannya ke rumah menjadi sunyi kerana tiada seorang manusia pun ketika itu.

"Lorong rumah saya yang gelap tu sepi saja. Cuma ada bunyi tapak kasut saya dan kunci yang dikeluarkan daripada beg galas... saja nak memecahkan kesunyian.

"Disebabkan rasa dahaga saya terus ke dapur rumah untuk minum segelas air. Tapi ada yang janggal waktu tu. Saya nampak makcik Kamsiah masih berada di bilik pakaian tengah iron baju.

"Posisi dia masa tu tengah membelakangkan saya sambil tunduk untuk iron baju. Saya pun terus tegur dia dan cakap sudah-sudahlah tu sambung esok je makcik," katanya.

Namun, makcik Kamsiah hanya mendiamkan diri lalu meneruskan kerjanya dan langsung tidak menoleh ke arah Haziq.

Tanpa rasa curiga, pemuda itu terus ke dapur semula untuk sediakan air teh O panas kepada makcik pembantu rumahnya.

Sewaktu sedang membancuh air manis untuk makcik Kamsiah, lelaki ini mendapat satu mesej dihantarkan kepadanya.

Mesej yang dihantar Kamsiah kepada Haziq.

"Saya tersentak apabila menerima mesej dihantar makcik Kamsiah. Jantung saya terus berdegup kencang baca mesej yang diterima.

"Katanya minta maaf saya balik awal hari ini. Saya tak boleh lama-lama dekat rumah tuan. Esok saya cerita ya. Jadi siapa yang ada dekat bilik tu?

"Saya terus telefon makcik Kamsiah malam tu juga sambil berjalan ke balkoni rumah. Laju je makcik angkat. Apabila ditanya, dia cakap ada yang tak kena dengan rumah tu," imbasnya.

Haziq terus mematikan panggilan setelah mendengar suara ketakutan makcik Kamsiah.

Ternyata, orang yang sedang menggosok bajunya ketika itu bukanlah pembantu rumahnya tetapi entiti jin sudah lama menghuni rumahnya.

"Saya mula rasa tak sedap hati jadi saya terus ke bilik tersebut. Masa saya dekat depan pintu bilik tu, entiti tu masih berada di sana.

"'Ia masih iron baju yang sama. Saya terus tanya dia kamu siapa? makcik Kamsiah dah balik. Jangan sampai saya panggil sekuriti! Nada suara saya terketar-ketar masa tu.

hantu

Hantu tersebut cuba menghampiri Haziq yang dalam ketakutan- Gambar hiasan

"Apa yang membuatkan saya lagi takut, entiti tu malah ketawakan saya pula. Tiba-tiba dia berhenti iron baju dan berkata kau baru sedar ke aku bukan makcik Kamsiah? Jadi aku ni siapa ya," katanya.

Menurut cerita Haziq, badannya ketika itu menggeletar tanpa henti dan cuba untuk larikan diri tetapi matanya teringin mahu melihat entiti tersebut.

Entiti tersebut menoleh ke arah Haziq dan cuba menghampirinya dalam keadaan berwajah buruk seolah-olah terbakar dengan mata yang terkeluar.

Dalam ketakutan, Haziq menggagahkan diri berlari ke luar rumah tetapi kaki kiri tersandung kaki meja di tengah rumahnya.

Kepalanya terhantuk pada bucu sofa berdekatan menyebabkan Haziq pengsan sehingga siang hari esoknya.

Susulan daripada kejadian gangguan itu, Haziq membuat keputusan untuk berpindah dengan kadar segera daripada rumah berhantu tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain