suria

Isteri ketakutan suami dirasuk ketika cuci rumah sewa baharu, jin mengamuk air panas dituang dalam singki

Pasangan ini diganggu jin selepas menuang air panas ke dalam singki.

KEDENGARAN seperti tahyul namun satu kejadian aneh yang berlaku ini menjadi pengajaran buat Sarimah dan suaminya.

Sebagaimana diceritakan, mereka baru sahaja berpindah ke rumah sewa yang sudah lama tidak dihuni memandangkan lokasinya sedikit terpencil.

Disebabkan keadaan rumah sedikit kotor dan berhabuk, Srimah dan suaminya, Azri mengambil masa satu minggu untuk mencuci kediaman sebelum diduduki.

Di bahagian dapur, Sarimah mendapati singki tersumbat dan berbau, lantas dia menuang air panas mendidih ke dalam saluran paip tersebut.

Warna air bertukar menjadi hitam selepas dituang air panas. -Gambar hiasan

Sewaktu air panas dituang, kelihatan air berbuih hitam seperti menggelegak keluar dari singki yang tersumbat.

Dia berasa tidak sedap hati melihat kejadian itu namun tidak mengendahkannya, sebaliknya meneruskan kerja-kerja pembersihan lain.

Ketika dia sedang asyik mencuci kipas di bilik, tiba-tiba angin kuat masuk menghempas pintu bilik sehingga tertutup sendiri.

Sarimah cuba membuka pintu semula namun tidak berjaya seolah-olah ada orang lain cuba menahan dari luar bilik.

"Abang! Buka pintu ni. Sayang terkunci dekat dalam," katanya dengan nada cemas.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ditarik penunggu pokok buluh ketika joging waktu senja! Ustaz buka cerita punca laluan itu ‘keras’

Namun, tiada sebarang respons diterima walaupun suaminya berada di ruang tamu sedang mencuci tingkap.

Setelah hampir 10 minit terkurung dalam bilik, dia terdengar suara menggerunkan seperti seekor harimau sedang marah dan mula mencakar pintu dari luar.

"Abang ke tu? Jangan main-main la... tak lawak! Saya takut ni. Tolong buka pintu cepat!" ujarnya.

Ketika itu Sarimah mula merasakan ada sesuatu yang 'tidak kena' kerana suaminya tidak pernah bergurau senda sedemikian.

Risau sekiranya diapa-apakan oleh suami, Sarimah terus meluru ke pintu dan menguncinya dari dalam.

Mujurlah Sarimah mempunyai kenalan rapat yang merupakan seorang ustaz dan tinggal berhampiran.

Selepas dihubungi, dia bersama dua pembantu terus datang ke rumah baharu Sarimah.

Mencuci rumah sewa sebelum berpindah adalah satu kebiasaan. -Gambar hiasan

Sejurus tiba dan membuat pemeriksaan, Sarimah diberitahu bahawa suaminya dirasuk jin justeru dia perlu ditenangkan dengan bacaan ruqyah.

Jin tersebut juga berdialog dengan ustaz sambil memandangnya dalam keadaan bengis menceritakan apa yang dilakukan Sarimah.

"Aku marah sebab dia (Sarimah) tuang air panas ke atas anak-anak aku dan membunuh mereka!

"Dia tak baca Bismillah sebelum tuang air panas tu supaya anak-anak aku boleh lari dulu.

"Kalaulah dia baca, pasti anak-anak aku sempat lari keluar dari singki kotor tu," kata jin tersebut dalam nada marah.

Bagaimanapun, setelah dirawat, ustaz tersebut dengan izin Allah berjaya mengeluarkan jin dan menghalaunya keluar dari badan Azri.

Sebelum ini, persoalan mengenai larangan menuang air panas ke dalam tandas atau bilik air kerana dikhuatiri terkena jin pernah dijawab oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Kejadian berlaku sewaktu suami mencuci tingkap. -Gambar hiasan

Menurut Zulkifli, tiada larangan atau dalil yang melarang air panas dituang di mana-mana tempat.

Tetapi tidak dinafikan oleh pakar bidang ruqyah syariyyah bahawa seseorang itu boleh diganggu kerana menuang air panas kepada jin dan menyakitinya.

Justeru, jika tidak ada sebarang keperluan untuk menuang air panas, sebaik-baiknya tidak melakukannya kerana dikhuatiri ia akan menyakiti jin atau makhluk seumpamanya tanpa kita sedar.

Bagaimanapun, sebaiknya ucapkanlah 'Bisimillah' jika seseorang itu benar-benar berhajat atau ada keperluan untuk menuang air panas seperti ke dalam singki bertujuan bagi melancarkan aliran air, mengelakkan tersumbat dan seumpamanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain