SUDAH menjadi kebiasaan bagi seorang pengusaha kedai cetak (printing) di sebuah bangunan arked Mara ini bekerja sehingga lewat malam sendirian. Menurut Azrul (bukan nama sebenar), dia lebih suka 'memerah' otak menghasilkan rekaan baharu atau menyiapkan tempahan pelanggan pada waktu malam. Rutin pulang lewat malam ini sudah biasa dilakukan sejak tiga tahun menyewa di sebuah premis di bangunan tersebut. Malah, lokasi kedainya yang strategik menghadap jalan raya membuatkan Azrul selesa dengan suasana sunyi sepi pada waktu malam. Namun, kejadian diganggu oleh 'seorang gadis' membuatkan pemuda ini serik dan tidak lagi meneruskan rutin sama. Mengimbas apa yang berlaku, pada malam kejadian mata Azrul hanya tertumpu pada skrin komputer menyiapkan kerjanya. Individu yang bekerja syif malam atau sehingga lewat malam sering berdepan gangguan. -Gambar hiasan Sewaktu leka menghadap komputer, kedainya dikunjungi oleh seorang gadis yang memakai pakaian lusuh dan berseluar panjang. Sejurus masuk ke dalam kedai, dia hanya duduk di kerusi plastik yang disediakan untuk pelanggan di tepi pintu dan tidak berkata apa-apa. Azrul mengalihkan pandangan ke arah wanita itu dan cuba melihat wajahnya yang dilitupi rambut panjang mengurai. Bagaimanapun, menurut Azrul, gadis itu hanya tunduk sambil melihat telefon jenama Nokia yang sudah tidak lagi digunakan pada masa kini. Namun dia tetap meneruskan kerja seperti biasa tanpa mempedulikan wanita itu dan dia sempat melihat jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. ARTIKEL BERKAITAN: “Ini orang atau apa sebenarnya?” - Pemuda terkejut ada kelibat dalam gambar pegang tangan kekasih di kebun getah Tiba-tiba wanita itu memecahkan kesunyian malam dengan mengajukan soalan kepada Azrul. "Abang, ada jual kad top up tak?" ujarnya lalu memandang Azrul. Dia berasa hairan dengan soalan tersebut apabila memikirkan masih ada individu yang menggunakan telefon secara pra bayar pada zaman ini. Ketika Azrul memandang gadis itu untuk menjawab soalan, dia tergamam sebaik sahaja melihat wajahnya. Sebagaimana digambarkan lelaki ini, wajah gadis itu kelihatan penuh darah dengan daging di muka sudah hancur seolah-olah baru terbabit dengan kemalangan jalan raya. Sebaik melihat entiti berwajah buruk itu, Azrul terus mencapai kunci kereta dan berlari keluar untuk pulang ke rumah tanpa mengunci kedai. Gangguan makhluk halus atau kejadian mistik boleh datang dalam pelbagai situasi. -Gambar hiasan Keesokan hari, Azrul menceritakan apa yang berlaku kepada rakannya, Hamid yang sama-sama menyewa di bangunan arked Mara menjual pakaian bundle. Kata Hamid, sebelum Azrul mula menyewa, kisah gangguan oleh wanita ini sudah kecoh di situ. Entiti tersebut didakwa merupakan seorang wanita yang terbabit dengan kemalangan apabila motosikalnya dilanggar lori di hadapan arked Mara itu pada tahun 90an. Namun, insiden itu kekal misteri apabila mayatnya masih tidak lagi dijumpai menyebabkan rohnya dikatakan tidak tenang dan berlegar-legar di lokasi tragedi sehingga kini. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube