suria

Jin terpikat dengan pelajar! Pertama kali ‘jumpa’ ketika pulang dari kelas malam, kemudian sering hadir dalam mimpi

Seorang pelajar kerap diganggu oleh makhluk halus selepas pulang dari kelas malam. -Gambar hiasan

SEBAGAI pelajar kulinari di sebuah kolej di Shah Alam, Selangor, Azza (bukan nama sebenar) adakalanya terpaksa mengikuti kelas yang diadakan sehingga larut malam.

Pada suatu hari, ketika hari sudah lewat malam, dia bersama seorang lagi rakan sekelasnya, Syima berjalan kaki bersama untuk pulang ke kolej.

Sepanjang perjalanan 15 minit menuju ke kolej masing-masing, mereka berbual kosong bagi memecahkan kesunyian malam.

Kemudian, Syima menceritakan kisah seram di mana kolej yang dihuni Azza pernah mempunyai kes gangguan makhluk halus sebelum ini.

Menurut Syima, sebelum ini kecoh di kolej tersebut apabila kebanyakan pelajar perempuan kononnya diganggu oleh pocong hampir setiap malam.

Kerap menerima mimpi buruk antara petanda seseorang itu diganggu makhluk halus. -Gambar hiasan

"Awak baru lagi masuk kolej tu, jadi berhati-hati ya.

"Nanti dah balik kolej mandi dulu. Jangan terus tidur pula!" ujar Syima memberi pesanan ringkas.

Syima kemudian meninggalkan Azza dan pulang ke biliknya yang terletak di bangunan bersebelahan kolej penginapan Azza.

Sebagai seorang yang kurang percaya kewujudan makhluk halus, Azza tidak mengendahkan cerita Syima yang dianggap dongeng semata-mata.

Sejurus pulang ke bilik, Azza terus merebahkan badannya yang kepenatan ke katil sambil mengeluh panjang.

Memikirkan kelasnya yang bermula seawal pukul 8 pagi pada keesokan hari, dia terus melelapkan mata tanpa membasuh kaki atau membersihkan diri.

Azza tiba-tiba tersedar dari tidurnya pukul 3 pagi kerana terdengar bunyi dentuman seolah-olah sesuatu sedang melompat menghampirinya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ini orang atau apa sebenarnya?” - Pemuda terkejut ada kelibat dalam gambar pegang tangan kekasih di kebun getah

Memandangkan Azza hanya tinggal bersendirian di bilik dan kepenatan, dia cuba untuk tidak menghiraukan bunyi tersebut lalu menyambung tidurny seperti biasa.

Bagaimanapun, sejak kejadian malam itu Azza mula mendapat mimpi-mimpi aneh seperti munculnya seorang lelaki yang mengekori dan menyentuh tubuhnya.

Perkara pelik yang berlaku itu tidak diceritakan kepada sesiapa sehinggalah pada suatu malam pocong muncul dan menunjukkan kelibatnya.

Sebelum kejadian, Azza tidur seperti biasa di kolej dan mendapat mimpi ngeri tetapi malam tersebut ibu jari kaki kirinya berasa sakit seolah-olah digigit sesuatu.

Sewaktu dia membuka mata, Azza terkejut apabila melihat pocong sedang menjilat darah yang keluar dari ibu jari kakinya sambil memandang ke arahnya.

Entiti pocong kerap mengganggu manusia. -Gambar hiasan

Gara-gara ketakutan dan tidak tahan dengan apa terjadi, dia memutuskan untuk berjumpa pakar perubatan Islam untuk mendapatkan rawatan.

Menurut ustaz yang merawatnya, pocong tersebut sebenarnya sudah 'jatuh cinta' kepada Azza sejak malam pertama dia mula menerima mimpi pelik.

Jelas ustaz itu lagi, makhluk tersebut merupakan jin lelaki yang sudah selesa dengan dirinya sejak pertama kali melihatnya sewaktu pulang dari kelas malam.

Bagaimanapun, selepas dirawat selama hampir tiga jam, wanita ini dikatakan pulih sepenuhnya dan tidak lagi diganggu atau mendapat mimpi-mimpi aneh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain