suria

Pocong melompat bawah pokok, ‘merayau’ depan kedai makan... Peniaga warga emas menggigil disergah lepas Subuh

Gangguan pocong biasanya akan menyebabkan mangsa demam akibat trauma. -Gambar hiasan

MENJADI rutin biasa sejak 30 tahun lalu, Cik Ani (bukan nama sebenar) akan membuka kedai makan miliknya seawal pukul 6 pagi setiap hari.

Meskipun usia sudah mencecah 55 tahun, Cik Ani masih gagah berniaga aneka menu sarapan di kedainya yang terletak di sebuah negeri di Pantai Timur.

Seperti kebiasaan, Cik Ani yang ditemani anak dara tuanya, Maslina, akan berangkat ke kedai itu seawal pukul 5 pagi untuk membuat persiapan.

Pada suatu pagi yang hening, dua beranak itu leka membuat persiapan sebelum kedai dibuka, namun angin begitu kuat menerpa sehingga tingkap kedai terbuka dan tertutup beberapa kali.

Maslina ketika itu leka memotong timun untuk dibuat acar nasi dagang manakala Cik Ani sedang menyusun bekas-bekas lauk di kaunter kedainya.

file7q2ggoo3ty8p2casaer

Aneka kuih yang boleh didapati di kedai-kedai Melayu ketika sarapan. -Gambar hiasan

"Sejuknya pagi ni, menggigil mak rasa. Angin kuat daripada tadi lagi. Nak hujan gamaknya," ujar Cik Ani kepada Maslina.

Tidak lama selepas itu, Cik Ani keluar dari kedainya untuk mengambil beberapa barang lagi yang masih belum dikeluarkan daripada kereta.

Dalam samar kegelapan, langkah Cik Ani terhenti apabila dia terdengar bunyi seperti binatang yang sedang menguis sampah di tepi kedainya.

Mata orang tua itu laju berpusing ke arah pokok besar, namun dia tidak melihat apa-apa.

Selepas senyap bunyi aneh itu, Cik Ani terus melangkah ke bahagian depan kedai untuk mengambil beberapa bekas makanan daripada but kereta.

Ketika itu, seluruh bulu roma Cik Ani meremang selepas dia mendengar suara aneh yang halus seolah-olah berbisik ke telinganya daripada arah belakang.

pocong2

Pocong merupakan antara hantu yang sering disebut-sebut di seluruh nusantara. -Gambar hiasan

Sambil memegang bekas makanan, Cik Ani berpaling ke belakang dan pada waktu itulah dia ternampak sekujur tubuh berbalut kain putih sedang melompat di kawasan bawah pokok.

"Ina...," laung Cik Ani memanggil anaknya ketika itu.

"Astaghfirullah, Astaghfirullah," ujar Cik Ani yang terduduk sambil menangis.

Kakinya kaku, malah separuh tubuhnya juga kotor akibat makanan yang tumpah ke atas pakaiannya.

Maslina yang berlari keluar terus panik apabila melihat ibunya sedang menangis dan menggigil di atas tanah.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kakak nampak opah, muka opah hitam!” - Cucu meracau lepas waktu maghrib, bapa tersuluh kelibat perempuan tua belakang rumah

ARTIKEL BERKAITAN: Suami tak ‘selera’ tengok isteri kusut, badan berbau... Tok imam syak buatan orang! - “Kalau aktif main media sosial, kurangkan”

"Aku nampak pocong kat situ, tolong Ina," kata Cik Ani yang sudah tidak mampu untuk berdiri.

Maslina cuba mengintai ke arah pokok, namun tiada apa-apa kelibat yang kelihatan.

Meskipun terkejut dan takut, Maslina tetap memberanikan diri menyuluh ke arah pokok itu menggunakan lampu telefonnya.

Kira-kira 10 minit kemudian, beberapa orang penduduk kampung yang baru pulang dari masjid mula sampai untuk bersarapan di kedai itu.

pocong3

Kedai makan biasanya mula beroperasi seawal 6 pagi untuk sarapan. -Gambar hiasan

Abang Haji yang juga imam kampung itu turut terkejut apabila Maslina memberitahu tentang kejadian tersebut.

Mereka turut bertanya kepada Cik Ani untuk mendapatkan kepastian, namun orang tua itu hanya duduk diam kerana kepenatan.

Dalam kekecohan itu, Maslina tetap melayan pelanggan-pelanggannya yang memesan air serta menu sarapan lain.

Namun, kedai mereka ditutup seawal 8 pagi kerana keadaan Cik Ani yang masih menggigil trauma akibat kejadian awal pagi itu.

Selepas kejadian itu, kedai tersebut ditutup seminggu kerana keadaan Cik Ani yang masih lemah dan demam.

Namun, warga emas itu beransur sihat minggu berikutnya selepas dia dibawa berjumpa dengan seorang ustaz untuk memulihkan semangatnya.

Sebelum kembali beroperasi, Maslina turut memanggil jemaah masjid untuk membaca surah Yasin serta doa selamat di kedainya agar kejadian sama tidak berulang lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain