SEJURUS menerima tawaran kerja di tempat baharu, Aiman terus berpindah dari rumah lamanya untuk menyewa di tempat baharu. Jejaka bujang ini biasanya akan berjoging lewat senja di sekitar kawasan perumahan dan dia tetap meneruskan rutin sama walaupun sudah berpindah ke Seremban, Negeri Sembilan. Namun apa yang dialaminya baru-baru ini ternyata membuatkan dia serik dan lebih berhati-hati. "Setiap kali balik kerja saya akan pergi joging di kawasan dekat dengan rumah. Lorong saya lalu tu memang sunyi tak ada orang lain pun. "Tapi setiap kali melintas dekat satu pokok besar tu memang rasa lain macam. Seram sejuk je bila lalu bawah pokok buluh besar dekat laluan tu. Laluan yang digunakan Aiman sewaktu berjoging. "Biasanya saya biarkan saja perasaan ni dan teruskan larian macam biasa tapi disebabkan 'kena kacau' baru-baru ni terus serik nak lalu situ," ujarnya. Memandangkan pemuda dari Kuantan, Pahang ini masih baru lagi dengan kawasan perumahan tempat dia menyewa, dia sama sekali tidak tahu tentang kisah-kisah mistik yang berlaku sebelum ini. Sejak dari hari pertama Aiman joging, dia merasakan seolah-olah diperhatikan oleh seseorang yang berada di celah-celah pokok buluh di lorong itu. Katanya, kawasan tersebut memang gelap kerana dipenuhi dengan rimbunan pokok buluh yang sudah tua. "Perasaan aku je kot," kata Aiman bermonolog sendiri bagi menyedapkan hatinya. Pokok buluh sering dikaitkan dengan kejadian mistik. Bagaimanapun, jauh di sudut hatinya sering terdetik rasa ingin tahu tentang pokok itu malah mahu melihatnya secara lebih dekat. Pada hari ketujuh, seperti biasa Aiman joging di lokasi sama namun kali ini sedikit berbeza apabila kedengaran sayup-sayup suara yang memanggilnya. Berdepan situasi itu, dia terus berhenti berlari dan menoleh ke arah pokok tersebut lalu cuba menghampirinya. "Saya biasa berlari pakai airpod tapi boleh dengar suara memanggil nama saya," jelasnya. Ketika itu juga dia terhidu bau wangi seperti bunga Kenanga serta terdapat kepulan asap keluar dari pokok buluh berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Jin terpikat dengan pelajar! Pertama kali ‘jumpa’ ketika pulang dari kelas malam, kemudian sering hadir dalam mimpi Sewaktu Aiman masih tercengang berdiri memikirkan apa sedang berlaku, tiba-tiba muncul satu lembaga bersaiz besar di hadapannya. "Saya nampak ada haiwan berbulu dengan mata merah keluar dari belakang pokok tu. Saya terlalu terkejut nampak makhluk sebesar tu sampai kaku tak boleh bergerak. "Tak lama lepas tu lengan saya seakan-akan ditarik oleh lembaga tu. Saya panik dan cuba larikan diri tapi tak berjaya sebab benda tu tak nak lepaskan tangan saya. "Saya menjerit dan meronta-ronta minta tolong namun tidak berjaya kerana tiada siapa pun dapat dengar suara saya masa tu. Benda tu pun semakin kuat cuba merentap saya masuk ke dalam rimbunan buluh," ujarnya. Setelah lama bergelut untuk cuba melepaskan diri, tubuh Aiman semakin lemah dan hampir pengsan kerana tidak lagi berdaya melawan makhluk tersebut. Gambaran makhluk yang dimaksudkan Aiman. Bagaimanapun, azan yang berkumandang berjaya 'menyelamatkan' Aiman apabila lembaga itu melepaskan dirinya dan lesap begitu sahaja. "Saya cuma mampu mengalirkan air mata sambil sebut nama Allah saja masa kena tarik tu. Mujurlah akhirnya dia lepaskan saya. "Lepas benda tu lepaskan saya terus muntah-muntah. Badan memang dah lemah tapi saya gagahkan juga diri patah balik ke rumah dalam keadaan menggigil. "Malam tu juga saya cuba dapatkan rawatan dengan seorang ustaz yang saya jumpa dekat surau lepas solat Isyak. Katanya memang kawasan tu tak ada orang berani lalu," imbasnya lagi. Menurut ustaz tersebut, sebelum ini ada individu pernah membuang sakanya di pokok itu pada 2007. Sejak itu, banyak kejadian kejadian aneh berlaku, termasuklah gangguan sehingga tidak ada seorang pun penduduk setempat berani menjejakkan kaki sendirian di sana lebih-lebih lama menjelang malam. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube