suria

Piring terbang ke dinding, tiba-tiba darah meleleh! Arkitek muda dengar perempuan menjerit selepas pasang ayat ruqyah

Bacaan ayat ruqyah sering dipasang untuk pendinding rumah dan mengelak gangguan makhluk halus.

KERJAYA sebagai seorang arkitek memerlukan daya kreativiti yang tinggi.

Kerap kali idea hadir pada waktu malam dan kadang-kala terpaksa berada di pejabat semalaman apabila dateline hampir tiba.

Bagi pendatang baharu seperti Haikal, rutin berkenaan perlu 'dihadam' lebih-lebih lagi ia menjadi satu budaya di pejabat tempat dia bekerja.

Namun selepas kira-kira enam bulan menjalani rutin kehidupan sebagai arkitek, Haikal menyedari sesuatu yang pelik hingga merasakan seperti sering diekori.

Pun begitu, kamera litar tertutup (CCTV) dan dashcam yang dipasang di rumah serta kenderaannya tidak menunjukkan sebarang kelibat mencurigakan.

Wujud kesan darah pada dinding selepas ruqyah dipasang.

Wujud kesan darah pada dinding selepas ruqyah dipasang.

Keadaan Haikal juga semakin pelik kerana secara tiba-tiba dia menjadi seorang individu dengan selera makan yang tinggi namun sukar untuk tidur.

Menyedari perubahan yang berlaku, dia pada awalnya menyangkakan ia berpunca daripada perubahan rutin kehidupan.

"Kak long, aku pelik la sebab tiba-tiba jadi kuat makan sekarang ni... tak kan sebab letih kerja? Abang long macam ni tak masa awal-awal jadi arkitek?

"Kadang-kadang dua, tiga hari juga aku tak tidur. Bukan tak mengantuk, tapi tak boleh langsung nak lelapkan mata.

"Pernah sekali tu, aku baru terpejam mata... tiba-tiba macam ternampak lembaga hitam besar berbulu kat depan dan masa tu aku macam kaku tak boleh bergerak," luah Haikal pada satu-satunya kakak yang masih ada.

ARTIKEL BERKAITAN: Penjaga loji cabut lari nampak 5 ekor ular ‘berbaris’, tak sempat bertenang diganggu pula 3 susuk tubuh tanpa wajah

Selepas menceritakan situasi yang dialami, kakaknya hanya meminta dia sentiasa memasang bacaan ayat ruqyah di rumah mahupun pejabat.

Namun tidak memberikan sebarang komen atau menjawab persoalan yang ditanya.

Sebagai adik, Haikal hanya menurut sahaja saranan kakaknya itu.

Tambahan pula dia tidak mempercayai gangguan makhluk halus kerana merasakan ia perkara mustahil dan hanya digembar-gemburkan sesetengah individu yang inginkan perhatian.

Sepanjang tempoh tujuh hari dia memasang ayat ruqyah yang diberikan kakaknya itu, Haikal dapat tidur nyenyak dan jumlah makanan yang sering diambil juga berkurangan.

Aku pasang ruqyah yang kak long beri tu, sebelum ini okay saja. Tiba-tiba hari ini banyak perkara pelik berlaku.

HAIKAL

Keadaannya mula kembali seperti sedia kala dan tidak lagi kusut masai.

Mendapati hidupnya semakin 'pulih', Haikal tidak lagi memperdengarkan ayat ruqyah di rumah mahupun pejabat.

Tanpa disangka, selepas beberapa minggu, keadaannya kembali berubah selain mengambil makanan seolah-olah melakukan kerja yang berat.

Malah tindak-tanduknya itu mula disedari rakan sepejabat sehingga ada yang menegur dan mentertawakannya kerana sering mengambil nasi dalam kuantiti yang banyak.

Kali ini, Haikal tidak lagi meminta nasihat kakaknya, dia terus sahaja memasang ayat ruqyah yang tersimpan dalam pen pemacu.

Barangan kaca pecah disebabkan 'amukan' jin selepas ruqyah dipasang.

Barangan kaca pecah disebabkan 'amukan' jin selepas ruqyah dipasang.

Bacaan tersebut dipasang kuat sehingga boleh didengari di setiap ruang di rumahnya.

Namun tanpa diduga, selepas ayat ke 102 dalam Surah Al-Baqarah dibaca, dia terdengar bunyi suara wanita menjerit kesakitan.

Pada awalnya, dia beranggapan itu adalah suara daripada rumah jiran yang gemar menonton filem.

Namun selepas pinggan mangkuk yang tersusun rapi di rak tiba-tiba jatuh, Haikal mula berasa panik.

Mana tidaknya, dia tidak memelihara kucing malah rumah juga dalam keadaan bersih dan bebas daripada tikus.

Rumah perlu sentiasa dalam keadaan kemas dan bersih bagi mengelakkan gangguan makhluk halus. -Gambar hiasan

Rumah perlu sentiasa dalam keadaan kemas dan bersih bagi mengelakkan gangguan makhluk halus. -Gambar hiasan

Sekali lagi kedengaran suara jeritan wanita namun kali ini lebih sayup seolah-olah berada dalam keadaan sakit yang teramat sangat.

Lebih mengejutkan apabila dia melihat beberapa keping piring terbang terkena dinding, percikan darah turut terlihat.

Bimbang situasi teruk berlaku, Haikal terus menghubungi kakaknya dan meminta dia datang segera.

"Kak long tolong datang cepat, tiba-tiba pinggan mangkuk jatuh pecah ni... entah darah apa yang ada di dinding.

"Aku pasang ruqyah yang kak long beri tu, sebelum ini okay saja. Tiba-tiba hari ini banyak perkara pelik berlaku," ujarnya cemas dan ketakutan.

Sejurus kakak dan abang iparnya tiba, mereka menghentikan bacaan ayat ruqyah tersebut dan suasana kembali tenang.

Belum sempat Haikal bertanya kenapa kejadian tersebut berlaku, kakaknya menyatakan ia berpunca daripada ayat ruqyah yang dipasang.

Malah kakaknya turut menyatakan dia mempunyai pendamping muda yang cantik sejak beberapa bulan lalu namun tidak pasti daripada mana 'wanita' berkenaan datang.

Bimbang situasi tersebut berterusan, Haikal dibawa mendapatkan rawatan Islam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain