HIDUP ini tidak adil, demikian apa yang dirasai seorang wanita pertengahan usia dikenali sebagai Aisyah. Aisyah terbaring kelesuan di dalam bilik tidurnya sambil memandang kipas siling yang ligat berputar, sesekali dia menghela nafas kepenatan, runsing memikirkan masalah hidup. Asyik menyelami emosi, Aisyah mengimbas semula masa silamnya, setiap satu dimainkan seperli sebuah filem. Alam ghaib sememangnya wujud dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia. -Gambar hiasan Memorinya terhenti pada satu insiden yang berlaku ketika umurnya lapan tahun. Memang sudah berdekad berlalu tetapi masih segar dalam ingatan. "Weh Na, jom la balik! Dah Maghrib ni kita masih duduk dekat taman permainan. Nanti ibu kita marah," kata Aisyah kepada Aina yang merupakan rakan karibnya di sekolah rendah. "Sabar la kejap Ecah, aku nak main buaian ni sekejap je lagi. Jangan jadi penakut sangat!" balas Aina. Penat berdiri, Aisyah pun melabuhkan punggungnya di bangku berdekatan sementara menunggu sahabatnya melepaskan gian bermain buaian. Tiba-tiba, angin sepoi-sepoi bahasa menyapa tubuh Aisyah dari belakang. Namun sedikit aneh apabila pohon berhampiran hanya kaku, tidak turut meliuk-liuk seiring bayu yang bertiup. ARTIKEL BERKAITAN: Adik kaku, mata tak berkelip selepas disakat abang... Bapa naik angin terpaksa cerita rahsia pokok pisang depan rumah Aisyah pun memalingkan pandangannya kepada punca angin itu, yang mana dia percaya datang dari kawasan belukar yang merimbun dengan lalang liar, hanya beberapa meter dari taman permainan. Perasaan ingin tahu muncul dan Aisyah bingkas bangun berjalan menuju ke arah belukar untuk 'menyiasat' apa sebenarnya berlaku. Setelah diamati, terbentang kawasan berumput yang kemas dipotong, seolah-olah dijaga oleh seseorang yang pakar dalam bidang penjagaan landskap. Ia membentuk sebatang lorong dengan lalang liar memagar bahagian kiri dan kanannya. Di hujung laluan itu berdiri dua batang pokok yang sudah mati tetapi tinggi melampai. Aisyah terus mara ke hadapan, ketika itu dia hanya seorang kanak-kanak naif yang tidak memikirkan risiko yang mungkin menanti. Kawasan yang tenang mungkin mempunyai bahaya menanti. -Gambar hiasan "Apa benda tu, pokok ni macam pintu ke suatu tempat, seperti portal dalam kartun Ben 10 yang abang aku tengok dekat televisyen, boleh pergi ke alam lain. "Apa jadi kalau aku masuk ke dalam, jom cuba," getus Aisyah dalam hatinya. Belum sempat Aisyah meneruskan langkahnya, angin kencang langsung menderu dan menolak tubuh kecil Aisyah ke belakang sehingga dia jatuh tertiarap di atas tanah. Aisyah terus pengsan tidak sedarkan diri. "Ecah bangun! Bangun anakku! Cuba cerita apa yang terjadi. Nasib baik Na cepat panggilkan mak tadi. Panasnya badan Ecah ya Allah," kedengaran sayup-sayup suara ibu Aisyah. Aisyah perlahan-lahan cuba membuka matanya, kelihatan orang kampung ramai mengerumuni dirinya termasuk ahli kariah surau kampung. Gangguan mistik boleh menjejaskan kesihatan mental. -Gambar hiasan Anjakan paradigma Bermula hari itu, kehidupan Aisyah berubah sepenuhnya. Dia dianugerahkan dengan kebolehan untuk melihat makhluk ghaib. Anugerah bukanlah perkataan yang tepat bagi Aisyah, lebih kepada sesuatu yang menghancurkan hidupnya. Atau terminologi yang sering dibualkan dalam kalangan masyarakat kita, dibuka 'hijab'. Pelbagai entiti jelik, tidak kira besar atau kecil, pendek atau rendah, tirus atau lebar sudah dilihat Aisyah. Selain itu, hampir kesemua ikhtiar perubatan sudah dicuba tetapi belum direzekikan untuk membuahkan hasil. Hidup Aisyah sentiasa bergelumang dengan ketakutan dan rasa gentar, dia tidak mampu menjalani kehidupan hariannya seperti manusia normal. Hanya terperuk di dalam bilik keseorangan, mengurung diri daripada melihat 'makhluk' di luar sana. Lebih tragis, Aisyah hilang keberanian dan keyakinan diri, tidak mempunyai kerjaya, tidak mempunyai pasangan sehidup semati, terputus sepenuhnya daripada kehidupan sosial dan masyarakat. Sungguh malang nasib hidupnya. Masa hadapan bagaimanakah yang menanti Aisyah? "Erghh," bunyi garau dari luar bilik Aisyah lantas menyentak lamunannya, kelihatan lembaga hitam bergerak berhampiran tingkap. "Aduh, datang lagi 'dia' ni, jangan kacau aku la woi!" teriak Aisyah separuh gila. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube