suria

Adik kaku, mata tak berkelip selepas disakat abang... Bapa naik angin terpaksa cerita rahsia pokok pisang depan rumah

Kisah alam bunian banyak dikongsi, namun ia masih kekal misteri. -Gambar hiasan

GELAK tawa kanak-kanak riang jelas kedengaran di jalan tanah merah sebuah kampung.

Aiman yang berusia 11 tahun sempat bermain kejar-kejar bersama adik bongsunya ketika dalam perjalanan pulang dari belajar mengaji di rumah ustaz yang terletak di hujung desa.

"Cepatlah kejar along! Kalau lambat, along tinggal kau dekat luar rumah. Along kunci pintu dulu. Habis la kau," kata Aiman yang merupakan seorang jaguh dalam setiap acara lumba lari di sekolahnya.

Si kecil, Fawwaz yang badannya gebu kerana terlampau dimanjakan ibu bapanya dilihat semput untuk menandingi stamina Aiman yang persis seorang atlet.

"Along tak nak la kejar-kejar, abah kan dah pesan suruh teman dan jangan tinggalkan adik," rayu Fawwaz yang tidak cukup nafas untuk mengikut rapat abangnya.

Kawasan kampung yang tenang mungkin menyimpan 1001 rahsia. -Gambar hiasan

Akhirnya Fawwaz dalam keadaan tercungap-cungap tiba di hadapan pintu pagar rumah yang sudah ditutup oleh si abang.

"Lambat sangat la adik, kau berlari ke merangkak tadi? Kura-kura pun tak selembab ni. Tidur la dekat luar, selamat malam," kata Aiman sengaja mengusik, lantas dia masuk ke dalam rumah untuk minum kerana kehausan.

Fawwaz yang penat melayan kerenah abangnya menggoncang pintu pagar rumah meminta untuk segera dibenarkan masuk. Dia tahu, cepat atau lambat abangnya pasti akan membukakan pintu untuknya juga.

"Along, cepatlah bagi adik masuk. Penat ni, esok dah la sekolah, nak tidur," kata Fawwaz mengalah dengan permainan abangnya.

Sementara itu, Aiman di dalam rumah sedap meneguk lebihan air sirap limau yang disimpan ibunya di dalam peti ais.

ARTIKEL BERKAITAN: Padah tak hirau sejarah hutan lipur! 2 sahabat diganggu, cabut lari selepas berkhemah di port cantik tepi sungai

"Ah lega rasa tekak ni! Apa cerita adik aku tu, dah dekat 10 minit dekat luar. Jom la bagi dia masuk, nanti dia keriau (menangis), aku juga yang kena menjawab dengan umi," Aiman bermonolog sendirian.

Aiman pun keluar semula dan berjalan ke pintu pagar rumahnya. Namun, apabila pintu pagar dibuka, Aiman terkejut apabila melihat adiknya berdiri kaku dan wajahnya pucat lesi.

Pandangan mata adiknya terkunci pada sebatang pokok pisang di seberang jalan, entah apa yang dilihat sehingga begitu khusyuk.

"Woi adik, kau buat apa tu? Woi jawab la, kau alright tak tu? Kenapa ni?" ujar Aiman sambil mendekati Fawwaz yang tidak menyahut.

Rasa risau mula meresap dalam diri, Aiman langsung menolak lembut badan adiknya untuk mendapatkan reaksi, masih sama.

Kalau orang tua cakap tu dengar la, degil pula along ni. Along pun dah besar kan, sini la abah cerita biar bagi faham sikit.

ABAH

"Fawwaz bangun!" pekik Aiman di cuping telinga adiknya sebagai cara terakhir untuk menyedarkan dirinya yang seperti dipukau.

Fawwaz langsung tersentak, dia terus membuka langkah seribu untuk memecut ke dalam rumah sambil mula menangis teresak-esak.

"Umi! Umi! Umi!" terlolong-lolong Fawwaz mencari ibunya.

Aiman yang masih di luar terpinga-pinga dengan apa yang baru terjadi, apakah yang menyampuk adiknya sehingga menyebabkan Fawwaz begitu ketakutan?

"Mengada-ngada la kau adik, dah kalah main kejar-kejar dengan aku lepas tu nak cari ibu," getus Aiman bersangka buruk terhadap adiknya.

Tiba-tiba deruan angin yang dingin menyapa tubuh Aiman, sejuknya terasa sehingga ke ubun-ubun dan sumsum tulang. Bulu roma Aiman pantas berdiri tegak.

Angin sejuk itu berterusan bertiup, sepoi-sepoi bahasa, datangnya dari pokok pisang yang ditenung Fawwaz sebentar tadi. Aiman dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

Di dunia ini dikatakan wujud juga alam ghaib yang tidak dapat dilihat mata kasar manusia. -Gambar hiasan

Enggan menunggu sebarang insiden buruk berlaku, Aiman segera berpatah balik ke dalam rumah dan menutup pintu pagar.

Ketika memasuki rumah, Aiman melihat Fawwaz memeluk erat ibunya, manakala bapanya yang duduk di sebelah sedang membacakan sesuatu sambil mengusap kepala adiknya.

"Along! Abah pesan benda mudah je, itu pun tak boleh buat ke? Apa jenis abang la along ni! Minta temankan adik, tapi tinggalkan dia," jerkah bapa Aiman yang sedang meluap-luap dengan kemarahan.

"Along biar adik dekat luar kejap je, bukan lama pun, maaf abah," balas Aiman yang matanya sudah berkaca.

"Kalau orang tua cakap tu dengar la, degil pula along ni. Along pun dah besar kan, sini la abah cerita biar bagi faham sikit.

"Kampung kita ni bersempadan dengan alam bunian dan pokok pisang depan rumah kita tu sebenarnya pintu masuk ke tempat mereka. Orang biasa tak akan nampak, tapi sebab adik kamu ni kecil lagi, mata dia belum 'tutup' habis.

"Kalau tadi waktu kamu biar adik dekat luar, 'penduduk' sana datang culik macam mana? Nak cari balik manusia dekat alam bunian bukan senang. Lepas ni beringat sikit eh along nak bergurau tu," jelas bapanya panjang lebar.

Aiman hanya mengangguk lemah dan mengambil iktibar daripada kejadian hari itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia