suria

Andartu terjerat, angau tok bomoh Indonesia di Batu Pahat... Silap besar serah bedak compact, gincu untuk jampi cari jodoh!

Setiap individu pasti ingin berkahwin dan membina keluarga bahagia. -Gambar hiasan

WANITA yang usianya melewati angka 40-an sering diklasifikasikan sebagai andartu atau anak dara tua.

Sesetengah wanita yang tergolong dalam kategori tersebut cenderung melakukan apa sahaja bagi mendapatkan jodoh.

Berhadapan situasi yang sama, Ruhil mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat seorang bomoh di kampungnya di Batu Pahat, Johor.

Meskipun tidak percaya dengan amalan kurafat tersebut, namun dia menuruti sahaja kemahuan ibunya bagi melenyapkan rasa bimbang di hati wanita kesayangannya itu.

Berkongsi cerita, ujarnya bomoh tersebut dikenali ibunya menerusi seorang rakan kuliah dan kelas agama di masjid.

“Aku panggil bomoh sebab dia jahat, dia acah-acah mengubat orang guna ayat al-Quran tapi sebenarnya menggunakan jin.

Minyak pengasih sering digunakan individu tidak bertanggungjawab.

Minyak pengasih sering digunakan individu tidak bertanggungjawab.

“Aku ni tak berapa lawa, tapi manis tu ada... waktu berubat tu aku memang dah kategori andartu. Jadi mak aku dah risau dan dia ajak aku pergi berubat.

“Rumah bomoh ni separuh kayu dan separuh batu. Masa aku sampai tak ada pun orang berubat dengan dia,” ujarnya memulakan cerita.

Daripada pengamatan, Ruhil menyatakan bahawa lelaki yang merawatnya itu berusia dalam lingkungan 40-an dan mungkin tua beberapa tahun daripadanya.

Malah katanya, berdasarkan dialek yang digunakan jelas menunjukkan individu tersebut berasal dari Indonesia yang berkahwin dengan wanita tempatan.

“Masa aku jumpa tu, dia pakai baju Melayu dan berkain pelikat serta berkopiah putih. Isteri pun ada di sebelahnya.

“Tapi sebelum dia mulakan rawatan di rumah kayu ni, isterinya turun untuk menjaga anak-anak mereka,” imbaunya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki tua tak dikenali tegur di masjid, suruh amal Yasin 7 mubin... Pemuda akhirnya dapat petunjuk punca hidup diuji musibah

Menurutnya sepanjang tempoh dirawat, dia tidak mendengar walau sepatah ayat al-Quran pun dibaca lelaki terbabit.

Sebaliknya, setiap ungkapan seperti mantra yang menyeru.

“Dia selalu sebut ‘hei si sri, hei si dewi’ tanpa aku tahu merujuk kepada siapa. Tapi aku diamkan saja sebab nampak wajah mak begitu kusyuk dengan rawatan tersebut.

“Selepas habis membuat rawatan, dia memaklumkan yang aku terkena buatan orang sebab itulah jodoh aku 'berat'.

“Dia kemudian panggil aku duduk betul-betul di depan sebab nak renjis air kononnya untuk membatalkan ‘sihir’ buatan orang tu,” tambahnya lagi.

Mengakui berasa pelik dengan cara rawatan berkenaan, dia menurut sahaja selepas disuruh sekali lagi oleh ibunya.

“Entah apa yang dibaca dan dihembus ke muka aku, siap bagi air untuk aku minum lagi. Katanya nak buang cahaya hitam pada muka aku.

Wanita bekerjaya sukar mendapatkan jodoh. -Gambar hiasan

Wanita berkerjaya sukar mendapatkan jodoh. -Gambar hiasan

“Mula-mula aku ingatkan selepas bagi air tu, rawatan dah selesai. Tak sangka pula dia minta alat solekan aku untuk dijampi.

“Lagi pelik sebab dia cakap ada ‘benda’ menempel kat barang tu. Aku pun bagi barang-barang yang memang ada dalam beg aku je, bedak compact dengan gincu,” ujarnya.

Menurut Ruhil, individu tersebut menyatakan bahawa wajah aku kelihatan hitam disebabkan ‘benda’ yang menempel tu sampai menakutkan lelaki.

Namun selepas selesai rawatan pertama, sesuatu yang pelik dan janggal berlaku terhadap Ruhil.

Akui Ruhil, dia mula teringatkan perawat tersebut selepas beberapa hari melakukan rawatan.

Malah katanya, dia sering bermimpikan wajah perawat berkenaan sehingga keinginan untuk berjumpa lagi membuak-buak.

“Aku ceritakan apa yang dialami kepada mak dan dia terus mengajak aku ke rumah bomoh tu keesokan paginya.

“Masa tu rupanya tanpa sedar aku cakap yang aku macam dapat semangat baru dan setiap kali berjumpa, aku seperti malu-malu. Reaksi aku tak sama dengan hari pertama dirawat,” katanya yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik.

Perubahan tingkah laku Ruhil turut dikesan ibu dan adik-beradik yang lain.

Perkahwinan adalah lambang cinta seseorang. -Gambar hiasan

Perkahwinan adalah lambang cinta seseorang. -Gambar hiasan

Tambahan pula, Ruhil sendiri yang meminta dihantar bertemu perawat berkenaan tanpa mengira waktu selain sering bercerita tentang perwatakannya seperti seorang yang sedang asyik bercinta.

Bimbang dengan situasi Ruhil, ibunya kemudian membawanya bertemu seorang ustaz di sebuah masjid.

“Tak sangka mak aku perasan perubahan aku dan tanpa tunggu lama, dia bawa aku jumpa dengan ustaz yang mengajar dia masa kelas agama di masjid.

“Alangkah terkejutnya apabila ustaz tu cakap aku dah terkena guna-guna yang diletakkan pada alat solek.

“Rupanya bukan buang ‘benda’ tapi dia letakkan susuk supaya aku sentiasa nampak cantik pada pandangan dia,” imbaunya lagi.

Malah kata Ruhil, tindakan pantas ibunya membuatkan dia terhalang daripada berkahwin lari dengan individu tersebut.

“Ustaz tu cakap, kalau lambat bertindak memang aku kahwin lari sebab bomoh tu dah rancang semuanya selepas aku pergi untuk rawatan kedua,” tambahnya mengimbas apa yang pernah dilaluinya suatu ketika dulu.

Kini Ruhil bersyukur kerana dia sudah bertemu jodoh dan dikurniakan dua anak.

Namun pengalaman dalam usahanya mencari jodoh itu akan terus terpahat dalam dirinya dan sentiasa menjadi batu sempadan supaya tidak sesekali bergantung pada amalan kurafat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain