SEBAGAI seorang peguam syarie, pelbagai ragam dan kisah rumah tangga klien pernah dikendalikannya. Namun kisah ketika mengendalikan kes membabitkan seorang wanita ini masih segar dalam ingatan Ustaz Anas Jamaluddin. Menurut Anas, dia yang ketika itu bertugas di Jabatan Bantuan Guaman, didatangi seorang wanita yang ingin mendapatkan nasihat guaman berkaitan masalah rumah tangga yang dihadapinya. "Dari jauh saya perhatikan penampilannya yang agak pelik. Make-up tebal, berpakaian warna warni. Awalnya saya tak syak apa-apa. Mungkin itu fesyen beliau barangkali. "Wanita ini 'kerek' dan menjawab dengan kasar sekali kepada pegawai kaunter. "Beliau dibawa ke bilik khidmat nasihat. Pegawai kaunter menyerahkan borang khidmat nasihat kepada saya. Saya perhatikan tulisan wanita ini seperti cakar ayam... susah nak baca," ceritanya ketika mengimbas kembali kisah kliennya itu. Malah sebelum mahu melangkah ke bilik khidmat nasihat, Anas berkata, pegawai kaunter siap memberi 'hint' kepadanya supaya berhati-hati dengan wanita berkenaan. Wanita berkenaan menggambarkan lembaga hitam yang dilihat berdiri di belakang suaminya. -Gambar hiasan "Saya tak banyak ilmu. Tapi ada la serba sedikit pengalaman. Bismillah 21 kali dan tawakal kepada Allah. Hadap saja. Saya bergerak ke bilik khidmat nasihat. "Kelihatan bilik tersebut kosong. Ah sudah... mana dia pergi ni! Rupanya beliau sedang sibuk berselfie dengan pelbagai gaya di luar bilik. Gelagatnya itu membuatkan saya curiga," ceritanya lagi. Anas kemudian menjemput wanita tersebut untuk masuk ke dalam bilik khidmat nasihat. Sekali lagi, wanita tersebut menunjukkan kelakuan yang aneh membuatkan peguam berkenaan bertambah seram. ARTIKEL BERKAITAN: Isteri ‘ikat’ suami guna 2 susuk jarum emas, 20 tahun sentiasa cantik... Lepas pasangan mati mengejut, tidur malam dihimpit derita! ARTIKEL BERKAITAN: Rumah terbiar 22 tahun, baru kini nak letak CCTV! Badan tukang pasang calar balar, pemilik dedah kenapa tiada penghuni "Beliau duduk di hadapan saya dengan kepalanya menunduk ke bawah. Saya makin pelik dengan gelagatnya... seram pun ada. "Setelah beberapa ketika, kepalanya diangkat. Matanya meliar memandang ke siling seperti mencari sesuatu. Nampak jelas emosinya tidak stabil. "Ustaz, saya nak minta cerai dan semua itu... hihihiiii. Katanya sambil menunjukkan ke arah borang di tangan saya. Dia mendongak kepala dan ketawa mengilai," ujar Anas malah mengakui, ketika itu bulu romanya juga tegak berdiri. Cuba mengawal perasaan dan mengalihkan perhatian, Anas mengajukan soalan berkaitan status pekerjaan wanita berkenaan memandangkan ia ditulis 'cuti' pada ruang tersebut. Menurut wanita itu, dia diberikan cuti sementara oleh majikannya buat masa ini. Kepalanya diangkat. Matanya meliar memandang ke siling seperti mencari sesuatu. Nampak jelas emosinya tidak stabil. ANAS JAMALUDDIN "Diaorang cakap saya ni gila. Suami saya pun cakap saya macam tu. Ada ke patut dia paksa saya makan ubat itu ini. Saya tak gila tau. "Katanya sambil sambung ketawa mengilai. Allah. Otak terus ligat memikirkan cara untuk melayan beliau supaya tidak bertindak di luar kawalan. Saya terus memancing beliau supaya bercerita. "Dulu dekat ofis lama saya, ada seorang pegawai ni cakap banyak sangat. Saya tampar je dia. Sebab itu diaorang bagi cuti. "Semalam masa suami saya balik kerja, belakang dia saya nampak ada lembaga. Hitam. Tinggi. Saya tak bagi suami saya dan 'dia' masuk. Saya rasa itu belaan mak mentua saya. Mak mentua saya memang kaki membela," kata Anas mengingati kembali dialog wanita berkenaan. Malah wanita tersebut mengakui dia kerap terdengar bisikan yang menyuruhnya melakukan sesuatu, selain ternampak kelibat makhluk halus. Disebabkan keadaan tersebut, ujarnya, empat anaknya termasuk yang bongsu berusia kurang setahun dihantar pulang ke kampung oleh suaminya. "Fikir punya fikir, akhirnya Allah bagi ilham. Saya beri cadangan untuk selesaikan masalahnya dengan cara berbincang dengan suaminya. Beliau setuju. "Telefon saya capai, dan dapatlah bercakap dengan suami beliau. Menurut cerita si suami, isterinya jadi kurang siuman selepas melahirkan anak keempat," kongsinya. Mereka yang berdepan dengan situasi halusinasi perlu mendapatkan bantuan yang sewajarnya. -Gambar hiasan Daripada penceritaan si suami, dia sudah berikhtiar mengubati isterinya melalui kaedah moden dan tradisional tapi sehingga kini masih tidak menunjukkan tanda untuk pulih. Menurut Anas, dia kemudian menasihatkan suami wanita tersebut supaya membawa isterinya mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri di hospital kerana mempunyai simptom psikosis postpartum, atau disebut meroyan. "Isterinya memerlukan rawatan khas daripada mereka yang mahir dalam bidang ini. "Saya berpesan kepada diri sendiri dan pembaca daripada kalangan suami sekalian, jagalah isteri sebaiknya selepas bersalin. "Ingatlah, wanita itu menggadaikan nyawanya untuk melahirkan anak kita. Sakitnya ya ampun. Kesimpulannya hargailah pasangan anda. Kekurangan mereka ditampung dengan kekuatan kita, begitulah sebaliknya," akhiri Anas. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube