suria

Penangan fitnah jin, anak soleh dipulau ibu kandung dan adik beradik... Hantar makanan, barang dapur semua dibuang!

Kebanyakan anak akan membelikan barangan dapur untuk keperluan ibu dan bapanya. -Gamnbar hiasan

UMAT Islam sering diingatkan tentang tipu daya jin dan syaitan.

Para ulama juga menasihati supaya mereka yang menjalani rawatan perubatan Islam untuk tidak mempercayai setiap kata-kata jin yang merasuk badan manusia kerana ia penuh tipu daya dan fitnah.

Berkongsi pengalaman menjadi mangsa fitnah jin, seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Rashidah berkata, kejadian yang berlaku itu membuatkan seluruh ahli keluarganya dipulau oleh saudara mara sebelah bapanya.

Malah nenek yang juga ibu kandung bapanya turut menjauhkan diri apabila diziarahi.

Mengimbau kejadian yang berlaku beberapa tahun lalu, ujar gadis ini, dia sama sekali tidak menyangka kebaikan yang dibuat bapanya menjadi asbab 'kesakitan' pada ibu, bapa saudara serta neneknya.

Rawatan perubatan Islam menjadi pilihan kebanyakan masyarakat. -Gambar hiasan

Perubatan Islam menjadi alternatif rawatan sebilangan masyarakat. -Gambar hiasan

"Keluarga aku pun kena sebab ayah aku jenis suka bersedekah dan suka bagi orang makan.

"Ayah aku tak lupa bagi tanggungjawab dia pada mak dia... sentiasa dia hantar barang makanan, beri duit belanja dan membelikan barang dapur untuk kegunaan nenek," ujarnya memulakan cerita.

Bagaimanapun, tanpa diduga, kebaikan bapanya telah disalah ertikan oleh ahli keluarga ibu dan bapa saudaranya yang tinggal bersama nenek.

"Keluarga kakak ayah aku tu duduk satu rumah sekali dengan nenek aku.

"Jadi kebaikan ayah tu membuatkan satu rumah nenek aku tu 'sakit' sehinggalah mereka semua pergi mendapatkan rawatan," ujarnya lanjut.

Sepanjang proses rawatan sehinggalah sekarang, seluruh ahli keluarga tersebut tiba-tiba berubah sikap.

Lebih menyedihkan lagi apabila setiap makanan dan barangan yang dibelikan bapanya dibuang tanpa dijamah seolah-olah mengandungi racun.

Sedekah makanan adalah amalan mulia. -Gambar hiasan

Sedekah makanan adalah amalan mulia. -Gambar hiasan

Bukan itu sahaja, mereka juga seolah-olah cuba menjauhkan diri dan memulau bapanya.

Meskipun pelik dengan layanan yang diberikan itu, ujar gadis ini, bapanya tetap menjalankan tanggujawab sebagai seorang anak seperti biasa.

Malah tidak sehari pun bapanya lupa untuk menghantar makanan atau bertanya khabar berita sehinggalah dia mengetahui perkara yang menyedihkan dalam hidupnya.

Menurutnya, semasa rawatan berlangsung, terdapat jin yang menyatakan keluarga aku menyihir nenek dan seluruh isi rumah tersebut.

"Jin tu cakap keluarga aku yang buat, kami tahu pun sebab ada salah seorang pakcik yang ceritakan dan minta kami bercakap jujur tentang tuduhan jin tersebut," jelasnya.

Pendedahan tersebut membuatkan bapanya berasa kecewa dan menangis.

Doa merupakan senjata orang mukmin. -Gambar hiasan

Doa merupakan senjata orang mukmin. -Gambar hiasan

Cerita itu sekali gus menjawab teka-teki yang sering bermain di fikiran bapa tentang perubahan ibu serta adik beradik yang lain.

"Ayah kecewa menangis dia masa tu, teka-teki kami terjawab sebab memang perasan mereka nak jauhkan diri daripada kami.

"Mereka buang segala apa yang kami beri... tapi ayah tetap jalankan juga tanggungjawab walaupun mak dah kata tak payah.

"Bertahun-tahun ayah dibuang, sedih masa tu. Ayah lagi rasa sakit sebab mak dia sendiri tak percaya sedangkan ayah juga yang bawa nenek pergi hospital apabila dia sakit dan ayah juga yang tolong nenek beli ubat serta susu," tambahnya.

Meskipun sudah reda dengan segala yang berlaku namun kata gadis ini, parut luka yang terpahat di hati bapanya tetap kekal walaupun di wajah mempamerkan senyum.

Malah dia turut berdoa supaya neneknya dan adik-beradik bapanya menyedari kebaikan yang telah dilakukan serta tidak mempercayai fitnah yang dilemparkan jin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain