PENGEMBARAAN solo semakin diminati masyarakat masa kini kerana lebih mudah dan rileks berbanding percutian berkumpulan. Bagaimanapun terdapat pelbagai risiko dan bahaya yang perlu diberi perhatian meskipun anda seorang lelaki. Banyak kes tidak diingini berlaku membabitkan pengembara solo seperti kisah yang dikongsikan Alang Anuar mengenai sahabat baiknya. Menyingkap kisah yang berlaku beberapa tahun lalu, ujarnya, rakan yang senang disapa sebagai Rosli pernah mengembara solo ke Indonesia. “Dia memang rancang ke Indonesia untuk bercuti. Tapi entah macam mana, dia terkena sihir sepanjang berada di sana,” ujarnya memulakan cerita. Menurut pelukis anime ini, akibat terkena sihir tersebut, rakannya seolah-olah hilang identiti diri sehingga tidak mengingati namanya sendiri. Lebih menyedihkan apabila situasi itu berlarutan sehingga lima tahun dan dia ‘terkontang-kanting’ di negara orang umpama seorang pengemis. Warung bakso kebiasaannya dibuka di kawasan rumah. “Lima tahun kat sana langsung dia tak ingat apa-apa, tak ingat pun nama sendiri,” tambahnya. Menurut Alang Anuar, keadaan yang berlaku membuatkan rakannya semakin tidak terurus kerana tidak mempunyai sumber kewangan atau pekerjaan untuk meneruskan kehidupan. Namun dengan kuasa Allah, terdapat seorang individu yang tergerak hati untuk membantu rakannya dengan menawarkan pekerjaan di warung bakso. Dalam tempoh tersebut, rakannya menjalani kehidupan seperti rakyat Indonesia tanpa mengetahui asal usul diri sendiri sehinggalah warung tersebut didatangi jemaah tabligh. ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki tua tak dikenali tegur di masjid, suruh amal Yasin 7 mubin... Pemuda akhirnya dapat petunjuk punca hidup diuji musibah “Ada orang 'kutip' dia dan bagi kerja di warung bakso. Selepas lima tahun, kebetulan ada jemaah tabligh datang ke warung dia kerja. “Salah seorang jemaah tu nampak yang kawan aku ni macam terkena sihir... susulan daripada itu, dia terus dirawat dan diubatkan,” imbaunya lagi. Bercerita lanjut, ujarnya, berkat hasil rawatan dan perubatan Islam yang dilakukan, rakannya kembali pulih seperti sedia kala. Malah ingatannya juga kembali sehingga dia terkejut apabila dimaklumkan telah berada di Indonesia selama lebih lima tahun. “Ingatan kawan aku pulih... dia terkejut sebab dah lima tahun berlalu,” tambahnya lagi. Tanpa menunggu lama, rakannya menguruskan segala dokumentasi untuk pulang semula ke Malaysia bagi bertemu keluarga tercinta. Golongan tabligh berdakwah dari rumah ke rumah. Namun malangnya, ujar Alang Anuar, rakannya sekali lagi diuji. “Setibanya dia di Malaysia, dia tengok isteri sudah berkahwin lain,” katanya sayu. Meskipun sedih dengan apa yang berlaku, namun rakannya tetap tersenyum serta menerima qada dan qadar Allah dengan hati terbuka. Malah kehidupannya kini semakin baik cuma menjadi gagap ketika bercakap kerana kesan sihir. Bagaimanapun sehingga kini, dia tidak mengetahui sama ada sihir tersebut memang dituju kepadanya atau dia terkena sihir yang dihantar untuk orang lain mahupun menjadi mangsa rompakan individu yang mengamalkan sihir. Untuk peringatan bersama, dalam Islam mempelajari dan mengamalkan ilmu sihir adalah haram sebagaimana sabda Baginda Rasulullah: Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita yang beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina." - [HR Bukhari 2766]. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube