TIDAK dapat dibayangkan ketakutan yang dihadapi wanita ini tatkala suaminya secara tiba-tiba dirasuk makhluk halus ketika mereka dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan alternatif akibat gangguan mistik yang dialami sejak awal Jun lalu. Menerusi video yang dimuat naik di laman TikTok, wanita menggunakan akaun @aretieqaahh berkongsi situasi cemas bercampur menakutkan memaparkan keadaan suaminya yang separa sedar akibat dirasuk. "Kami on the way nak pergi berubat sebab suami asyik demam selepas maghrib dah tiga minggu. Dia rasa sesuatu yang tak kena pada badan dia. "Dalam perjalanan ke sana, dia memandu... tiba-tiba sesuatu terjadi. Just you imagine, dalam kereta cuma ada kamu, anak dan suami saja. Kamu toleh kanan, dia dah tersenyum-senyum memandang kamu. "Waktu tu belum sampai lagi rumah perawat, dia berhentikan kereta!" kongsinya mengimbas kembali detik yang berlaku pada malam Khamis lalu. Penduduk kampung membantu mengeluarkan dan memimpin suami wanita berkenaan. Menerusi video berkenaan juga, jelas kedengaran suaranya yang bergetar akibat ketakutan dan tidak henti-henti berzikir ketika suaminya yang berada di tempat duduk pemandu mengeluarkan suara aneh seolah-olah mengilai. "Aku dan baby dah keluar dari kereta sebab risau dia terkam baby. Menggigil satu badan. Allah je yang tahu perasaan aku masa tu. Alhamdulillah orang kampung ramai datang tolong," kongsinya lagi. ARTIKEL BERKAITAN: Adik ‘lari’ ke Singapura selepas derita disihir! Kakak dengki bisnes maju, hidup mewah... Patutlah selalu hantar makanan Dalam video berlainan, kelihatan suaminya berjaya dikeluarkan dari kereta sambil berjalan terbongkok-bongkok dengan dipimpin seorang lelaki yang merupakan penduduk kampung. Menerusi satu lagi video lain, kelihatan suaminya sedang dirawat dan dipulihkan daripada gangguan di rumah perawat. "Ustaz tu kata hantu raya, orang hantar... bukan saka," katanya lagi. Bercerita lebih lanjut, wanita tersebut mendedahkan selain suami, anak kecil mereka turut menerima 'tempias' gangguan makhluk halus. Video menunjukkan suami wanita berkenaan sedang dipulihkan. "Saya bawa baby sebab baby yang teruk sebenarnya. Tiap kali tidur, menangis ligat macam kena cubit. "Hidup zaman sihir sangat struggle. Kadang kita tak tahu punca, tapi akibatnya kita yang tanggung. Dari zaman sebelum kahwin sampai sekarang, masih ikhtiar," kongsinya lagi. Sehingga kini beberapa video yang dimuat naik wanita berkenaan meraih jutaan jumlah tontonan, dengan satu daripadanya mencecah 7.8 juta. Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya menitipkan doa memohon kesembuhan buat suaminya selain mendoakannya tabah berdepan ujian berkenaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube