SEGELINTIR pemandu e-hailing pastinya pernah berdepan kejadian misteri ketika mereka keluar mencari rezeki.
Bagi Edy (bukan nama sebenar), terdapat satu kejadian menakutkan yang benar-benar membuatkan dia serik untuk mengambil penumpang pada waktu malam.
Dalam kejadian itu, Edy menjemput seorang penumpang wanita dari sebuah hospital di Selangor sekitar pukul 9.30 malam.
Wanita itu membawa seorang bayi yang dibungkus dalam kain batik dan kedua-duanya hanya senyap sepanjang perjalanan.
Selepas memandu lebih 10 kilometer, Edy memecah kesunyian malam dengan bertanyakan kepada wanita itu mengenai situasinya.
Namun, Edy terkedu apabila wanita itu memaklumkan bayinya sudah meninggal dunia akibat lemas ketika dilahirkan.
"Anak akak dah tak bernyawa, akak nak bawa balik untuk tanam," jawab wanita itu ringkas.
Edy mula berasa pelik dan tertanya-tanya kenapa wanita itu tidak menaiki ambulans atau van jenazah.
Pemandu berdepan banyak risiko pada waktu malam kerana suasana yang gelap dan sunyi. -Gambar hiasan
Belum sempat Edy bertanya soalan kedua, dia terkejut melihat kerusi penumpang belakang sudah kosong dan hanya terdapat beberapa keping daun kering.
Ketika itu, Edy mula meremang bulu roma dan secara tiba-tiba dia terbau sesuatu yang hanyir seperti darah.
Pada waktu itu juga Edy sedar dia sebenarnya membawa penumpang yang tidak wujud.
ARTIKEL BERKAITAN: Rumah sewa diganggu lepas 2 minggu housemate meninggal, perawat bongkar barang kotor di bilik arwah jadi punca
Kaki Edy terasa lemah, menyebabkan dia terpaksa memberhentikan kenderaan di sisi jalan.
Debaran Edy bertambah memuncak apabila dia mendapati terdapat tanah perkuburan di seberang jalan.
Tiba-tiba Edy perasan mendengar suara wanita yang sedang mengilai berdekatan keretanya.
Ketika memandang ke arah semak, Edy melihat wanita berbaju putih sedang terbang setinggi tiang elektrik sebelum ia lesap berhampiran semak-samun.
Edy terus memecut keretanya dan balik ke rumah kerana ketakutan.
Gara-gara kejadian itu, Edy demam beberapa hari dan dia berhenti mengambil penumpang pada waktu malam selama beberapa bulan kerana trauma.