suria

Bahana beli perabot terpakai, ibu tiba-tiba jatuh sakit... Pukul 4 pagi nampak kelibat orang tua

Setiap perabot lama mempunyai kisahnya tersendiri. -Gambar hiasan

PERABOT terpakai sering menjadi pilihan segelintir individu kerana harganya murah.

Namun, siapa sangka, salah seorang pembeli kini tidak mahu lagi melihat apatah lagi menggunakan perabot terpakai di rumahnya selepas dia sekeluarga berdepan gangguan mistik berpanjangan.

Gangguan itu bermula selepas ibunya membeli set kerusi terpakai dari sebuah kedai pada hujung tahun lalu.

Menurut Fatin (bukan nama sebenar), ibunya tiba-tiba jatuh sakit sehingga tidak boleh berjalan selepas seminggu kerusi terpakai diletakkan di ruang tamu rumah mereka.

Ibu Fatin mengadu kakinya berasa berat, seolah-olah ada sesuatu yang berpaut pada betisnya.

Lebih menghairankan, keadaan ibunya menjadi lemah menjelang waktu malam, dan kembali sihat pada siang hari.

perabot 2

Perabot terpakai laris di pasaran kerana harganya lebih murah. -Gambar hiasan

Ketika itu, Fatin sekeluarga tidak pernah terfikir mengenai keadaan ibunya mempunyai kaitan dengan kehadiran perabot lama berkenaan di rumah mereka.

Puas mereka ke klinik dan hospital untuk mendapatkan rawatan, namun keadaan kesihatan ibunya tetap tidak pulih.

Selepas ibunya menjadi mangsa, anak Fatin yang berusia tiga tahun pula kerap menangis seperti kerasukan pada waktu malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Badan panas, kena tindih... Tak sangka baju bundle pun ‘keras’! Perawat dedah pulihkan peminat pakaian terpakai kena gangguan

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita tumpah darah, gugur bayi sulung lepas jamah masakan biras... Rupanya dicampur air jampi, iri hati hamil awal!

Keluarganya mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena selepas Fatin sendiri akhirnya terkena gangguan pada satu malam.

Fatin dikejutkan dengan kelibat seperti orang tua yang duduk di kerusi lama itu ketika dia mahu ke tandas untuk membuang air kecil pada pukul 4 pagi.

Dalam ketakutan, Fatin menjerit sekuat hati sehingga semua penghuni di dalam rumahnya terbangun.

Malah, bapa dan suaminya turut bergegas ke ruang tamu untuk melihat apa yang berlaku.

Susulan kejadian itu, bapa Fatin memanggil seorang perawat tradisional dan mereka kemudian dimaklumkan mengenai gangguan di kediaman tersebut berpunca daripada perabot lama.

Menurut perawat, perabot itu mempunyai penunggu dan ia 'mengamuk' selepas berpindah daripada lokasi asal.

Atas bantuan perawat itu juga, mereka membawa perabot itu ke kawasan lapang sebelum ia dibakar sehingga musnah.

Kira-kira dua minggu selepas ia dibuang, kesihatan ibu Fatin beransur pulih dan sehingga kini, mereka sudah tidak lagi menerima sebarang gangguan mistik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain