ALAM jin terlalu besar untuk dibicarakan, dan lautan pula terlalu luas untuk diteroka sepenuhnya. Meliputi 70 peratus permukaan bumi, manusia hanya mampu menjelajahi sekitar lima peratus daripadanya. Di sebalik kedalaman lautan, kita tidak akan tahu seberapa banyak makhluk Allah yang menjadi penghuninya. Rakaman dan kisah daripada pelaut, penyelam, serta kajian sejarah kerap menggambarkan kewujudan makhluk misteri seperti duyung. Persoalannya, adakah duyung benar-benar wujud atau sekadar mitos yang diwariskan daripada generasi ke generasi? Makhluk aneh yang terdampar di Pulau Simberi didakwa mirip ikan duyung. Gambar hiasan Antara individu yang pernah mengkaji mengenai duyung adalah seorang pendakwah bebas dan pakar selaman, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin. Kajiannya mengenai duyung membawanya ke Muzium Keraton Sumeneb di Indonesia. Di sana, pelbagai kisah dan bukti kewujudan duyung dikumpulkan. "Dikatakan bahawa duyung benar-benar wujud pada zaman dahulu. Di Pulau Sumeneb, penduduk tempatan terutamanya penyelam yang sering menyelam di perairan dalam, pernah menemui makhluk ini," kongsi beliau. Ketika melakukan kajiannya, Ustaz Muhammad turut menerima sebilah sundang, iaitu senjata tradisional Melayu yang dikatakan diperbuat daripada tulang duyung. "Berkali-kali saya bertanya, adakah ini tulang dugong atau duyung? Namun, individu tersebut tetap menegaskan bahawa ini adalah tulang ikan duyung," jelasnya. Bukti tambahan juga terdapat dalam kitab Hayatul Hayawan Al-Kubra oleh Sheikh Kamaluddin Al-Damiri, sebuah ensiklopedia zoologi zaman dahulu. Dalam kitab ini, duyung disebut sebagai Imsanul Mak, yang berbentuk seperti manusia dan ditemukan di perairan Syam, berhampiran Laut Mediterranean. Para ulama turut membahaskan kewujudan duyung dari sudut hukum syariah. Dalam kitab Al-Bujarimi, dinyatakan bahawa tidak sah mengahwini duyung kerana ia bukan manusia, selaras dengan firman Allah bahawa pasangan manusia diciptakan daripada diri mereka sendiri. Majlis Ulama Indonesia (MUI) juga mengeluarkan fatwa pada tahun 2014 bahawa duyung tidak boleh dimakan kerana menyerupai manusia. Ini menunjukkan bagaimana keunikan makhluk ini terus mencetuskan perbincangan sehingga hari ini. Duyung di televisyen berbeza dari gambaran pelayar dan kajian dahulu. Gambar hiasan. Kisah-kisah pertemuan dengan duyung tidak terhenti di situ. Seorang individu menerusi akaun TikToknya, @ceokapal3.0 turut berkongsi pengalamannya selama 23 tahun bekerja di atas kapal dan pernah merentasi tujuh lautan di dunia. Salah satu ceritanya adalah pertemuan dengan duyung 23 tahun lalu di tengah lautan. "Pada pagi yang indah itu, saya melihatnya dengan jelas," katanya. Menurutnya, duyung tersebut memiliki wajah yang menyerupai manusia tetapi dengan perbezaan ketara matanya besar, hitam, dan menyerupai mata lalat. Rambutnya kelihatan tidak terurus, tubuhnya sasa, dan wajahnya nampak bengis. "Tangan duyung itu pendek dan bercantum, mirip tangan katak, dengan lima jari yang unik," tambahnya. Kisah-kisah tentang duyung yang sering diperkatakan memberi kita gambaran tentang kepercayaan dan warisan budaya masyarakat dahulu, biarpun ia kekal misteri hingga kini. Daripada muzium hingga kitab lama, darpadai sundang Melayu hingga fatwa moden, kewujudan duyung terus menjadi perdebatan yang menghidupkan rasa ingin tahu manusia. Jadi, adakah duyung benar-benar wujud atau adakah ia sekadar bayangan manusia yang terpukau oleh luasnya lautan dan misteri di dalamnya? Sehingga kini, tiada bukti kukuh yang dapat membuktikan kewujudan makhluk ini. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube