SELAIN meraikan kemenangan selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan, kini ketibaan Syawal diraikan umat Islam apabila masing-masing tampil segak bergaya dengan baju raya berwarna-warni. Maka, tidak hairanlah saban tahun pasti ada sahaja rekaan baju raya yang diketengahkan oleh pereka tempatan. Di samping itu, trend outfit of the day (OOTD- pakaian hari ini) yang menjadi ikutan di seluruh dunia secara tidak langsung menggalakkan pengguna laman sosial untuk bergaya sakan di musim perayaan. ARTIKEL BERKAITAN: Mahu tampil segak di Aidilfitri, jangan terkejut ada lelaki sanggup berhabis beli samping cecah RM12,000 Seorang pramugari syarikat penerbangan tempatan, Nurlaili Saad, 33, mempunyai cara tersendiri untuk memperagakan baju raya dan pada masa sama dapat menjimatkan duit poket. Nurlaili mengiklankan semula baju rayanya yang digayakan pada pagi Syawal lalu menerusi Instagram @karra_preloved. Wanita yang menetap di Seri Kembangan, Selangor itu enggan membazir wang semata-mata untuk kelihatan cantik pada sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan menjual semula (preloved) baju rayanya yang hanya dipakai sekali. "Saya baru mulakan preloved pada tahun ini. Selalunya saya beli tiga pasang baju raya, tapi tahun ini saya hanya sediakan dua pasang kerana raya ketiga sudah kembali bekerja. "Saya hadkan sepasang baju raya hanya sekitar RM250 pada tahun ini. Ini kerana tahun lepas agak membazir dengan memperuntukkan RM500 untuk sepasang baju," ujarnya. Jelas Nurlaili, trend menjual semula pakaian sangat menguntungkan kerana selain dapat bertukar-tukar baju, ia dapat mengelak pembaziran. "Sebelum ini, saya beli dan pakai sekali kemudian simpan. Tak tahu bila akan pakai lagi, jadi lebih elok saya jual kan? "Macam baju raya tahun ini, saya beli pada harga RM289 sepasang dan jual semula pada harga RM230," ujarnya yang hanya memakai baju tersebut sekali di pagi Syawal lalu. Norish Kareem memiliki sebuah butik yang beroperasi di London. - Instagram @norishkareemfashioncouture Sementara itu, pereka fesyen terkenal, Norish Kareem berpandangan trend tersebut mungkin akan menjadi satu ikutan satu hari nanti seperti fenomena yang sedang berlaku di United Kingdom. Beliau yang memiliki butik yang beroperasi di Marylebone, London itu berkata, sewa baju menjadi perniagaan paling berpotensi di negara tersebut dan semakin menjadi trend. "Jika anda mempunyai terlalu banyak pakaian, apa salahnya buat preloved. "Tapi semuanya bergantung kepada preference masing-masing. Daripada disimpan di dalam almari, baik dijual kerana ia boleh dipakai pula oleh orang lain," ujarnya yang lebih gemar menyimpan semua pakaiannya sebagai koleksi peribadi. Sebenarnya, apa juga trend yang menjadi ikutan semasa, seseorang individu itu harus menjadi pengguna yang bijak dan tidak menjadi hamba kepada fesyen sehingga merugikan diri sendiri. Jadi, apa salahnya konsep preloved ini dijadikan salah satu cabang untuk menjana pendapatan sampingan daripada membiarkannya usang tidak dipakai.