suria

Ladies... ukurlah saiz bra kamu setiap 6 bulan sekali!

Josephine Skriver mendedahkan dia juga tidak pernah tahu bahawa wanita perlu memeriksa saiz baju dalam 6 bulan sekali. -foto Splash News

SELAMA ini, ramai kaum wanita yang jarang-jarang, malah tidak pernah mengukur ukuran bra secara rutin.

Menurut model Victoria's Secret, Josephine Skriver, sebaik-baiknya seorang wanita harus membuat ukuran saiz bra mereka setiap enam bulan sekali.

Dalam sebuah wawancara dengan Elle, dia sendiri mengakui sebelum ini sering memakai coli yang kurang sesuai dengan saiz payudara selama bertahun-tahun.

Akibatnya, tali bra sering terjatuh, payudara kendur atau terdapat kesan tali bra di bahu.

Sehinggalah dia terlibat dalam kerjaya model pakaian dalam yang membuatkan dirinya lebih faham akan kepentingan memakai bra yang sesuai dengan badan.

"Saya diukur tiga tahun lalu dan menganggap itu ukuran saya. Saya lupa bahawa ukuran payudara perempuan boleh berubah mengikut waktu,” kata Skriver, memetik The Sun.


Pemilihan saiz bra yang salah boleh mendatangkan beberapa masalah kesihatan. -foto Getty

"Dulu saya tidak peduli dengan ukurannya. Tetapi ketika saya diukur di Victoria's Secret, ia benar-benar mengejutkan saya, kerana hasil ukurannya sama sekali berbeza dengan saiz biasa saya pakai," katanya.

Dia menambah: "Setiap kali ibu saya datang ke New York, saya akan akan dapatkan bra baharu dengan saiz betul untuknya... hanya kita wanita yang melalui perubahan pada badan".

Walaupun mungkin nampak remeh, mengenakan bra dengan saiz yang tidak betul akan menyebabkan komplikasi kesihatan, seperti sakit belakang dan ketegangan otot.

Justeru, model dari Denmark ini mengajak golongan wanita untuk mengambil berat akan ketepatan ukuran saiz baju dalam masing-masing.

"Mengukur bra setiap enam bulan itu sememangnya penting. Masih ramai yang tidak tahu, malah saya sendiri pun (sebagai model) yang sepatutnya tahu, tidak pernah tahu tentangnya sebelum ini," jelasnya. -The Sun

Artikel Lain