suria

Diet kopi, selamat atau sebaliknya?

Diet kopi dikatakan tidak sesuai untuk jangka panjang.

PELBAGAI kaedah diet tersedia untuk pilihan sesiapa sahaja dengan matlamat asasnya adalah bagi menurunkan berat badan.

Tentu sekali ada yang membantu merealisasikan impian sesetengah individu, namun ada yang mengalami kesan negatif melebih sebaliknya sekali gus memberi impak kepada kesihatan.

Misalnya diet berasaskan kopi. Apakah seseorang itu boleh bertahan hanya dengan pengambilan kafein sepanjang hari? Apakah manfaat dan risikonya?

Apa sebenarnya diet kopi?

Kaedah ini melibatkan pengambilan beberapa cawan kopi setiap hari bagi mengelak pertambahan kalori. Ia dipercayai menjadi popular menerusi buku tulisan Dr Bob Arnot, The Coffee Lover's Diet di mana penulisnya mendakwa dengan meminum kopi beberapa kali sehari ia dapat meningkatkan kadar metabolisme, membakar lebih banyak lemak, menghalang penyerapan kalori dengan mengurangkan selera makan.

Bagaimana ia berlaku

Bagi yang berminat mencuba, anda perlu minum paling kurang tiga cawan kopi berkafein atau sebaliknya tanpa gula atau krim. Untuk tempoh seterusnya anda boleh mengambil makanan ringan atau menjamah menu termasuk yang rendah kalori dan lemak tetapi tinggi kadar serat sepreti sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin.

Kafein yang terlalu banyak dalam tubuh boleh memudaratkan kesihatan.

Manfaat

Jika satu-satu matlamat untuk menurunkan berat badan, diet ini boleh membantu dalam dua cara. Pertama, ia dapat mengurangkan selera dan kedua mampu meningkatkan kadar metabolisme.

Kebanyakan pakar percaya ianya benar kerana dengan meminum kopi sebelum menjamah hidangan boleh membuatkan anda makan dalam kuantiti sedikit. Bagaimanapun, masih banyak kajian mengenainya perlu dijalankan.

Bagaimanapun, mengenai metabolisme pula, kajian melibatkan 600 individu menunjukkan pengambilan kafein dapat menurunkan berat badan, indeks jisim badan dan lemak.

Risiko

Kelemahan utama adalah kandungan kafein dalam badan kerana ia sering dikaitkan dengan masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, insomnia dan sakit kepala. Jadi, kaedah ini tidak selamat untuk jangka panjang, sekali gus tidak sesuai untuk menurunkan berat badan.

Bagaimanapun, jika anda memilih untuk mencuba diet ini, adalah dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan doktor atau pakar pemakanan. Tentu sekali mereka dapat menilai keadaan anda berdasarkan rekod kesihatan anda.- indiaexpress.com






kopi, kafein, Bob Arnot

Artikel Lain