SETIAP wanita mengidamkan kulit yang sihat dan cantik. Sudah tentu, rutin penjagaan wajah golongan selebriti menjadi tumpuan ramai sehingga ada sanggup menghabiskan ribuan ringgit membeli pelbagai produk. Di antara ramai-ramai selebriti dan kenamaan, Duchess of Cambridge, Kate Middleton antara yang menjadi perhatian kerana kekaguman masyarakat terhadap kulit wajahnya sehingga menimbulkan rasa ingin tahu. Ramai terkejut apabila mengetahui petua kecantikan isteri Putera William itu adalah racun lebah! ARTIKEL BERKAITAN: Nak bibir mulus... ketahui kelebihan berus gigi, bukan hanya untuk bersihkan gigi! Sumber melaporkan, Kate membayar sekitar AS$325 (RM1,300) untuk satu sesi bagi menikmati rawatan wajah menggunakan racun lebah. Namun sesuai dengan harganya, racun lebah mempunyai pelbagai khasiat yang baik untuk kulit. Racun lebah mungkin berbisa namun ia banyak khasiat terutamanya untuk kecantikan wajah. Satu kajian yang dilakukan mendapati ia mampu secara aktif mengurangkan dan melambatkan proses penuaan serta menghilangkan kedutan di wajah. Jadi sebab itu, ia semakin mendapat perhatian dalam kalangan orang muda bagi mengambil langkah pencegahan dengan menggunakan rawatan racun lebah. Rawatan wajah menggunakan racun lebah juga memberi tambah nilai kerana ia bersifat anafilaksis dan mampu menegangkan otot wajah, selain meningkatkan peredaran darah wajah. Semua elemen ini sekaligus membuatkan wajah anda lebih bercahaya dan bersinar. Jadi tak hairan, Kate nampak sentiasa cantik setiap kali gambarnya dirakam kamera. Selain Kate, antara selebriti yang melakukan rawatan serupa termasuklah Gwyneth Paltrow dan Victoria Beckham.