suria

Pilih ready to wear Aidilfitri ini, Jovian Mandagie kongsi kenangan raya di Indonesia – “Hampir macam konsert, majlis kahwin”

Jovian bersama isteri dan anak menyambut Aidilfitri secara sederhana. Foto instagram jmandagie

SAMBUTAN Aidilfitri tahun ini pastinya agak berbeza berbanding sebelum ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ekoran pandemik Covid-19.

Turut terkesan adalah pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie tetapi masih menyambutnya secara sederhana bersama keluarga dan keluarga mentua di Kuala Lumpur.

Setiap kali 1 Syawal tumpuan ramai sudah tentu menantikan penampilan pereka fesyen berusia 34 tahun itu berhari raya bersama isteri, Datin Nina Sabrina Ismail Sabri.

ARTIKEL BERKAITAN: "Antara saya dan Datuk Seri, beliau lagi berani" - Menantu dedah menteri 'very adventurous', siapa 2 individu di sebalik baju 'sedap' Ismail Sabri?

ARTIKEL BERKAITAN: Sebelum netizen 'buat kerja', kali ini Ismail Sabri dah siap-siap buat jangkaan komen baju Melayu dipakainya - "Datuk dah pandai teka daaa..."

"Dari segi baju, kami pakai yang ready-to-wear (siap dipakai) sahaja. Tak ada pakai baju couture sebab tak ada pergi beraya atau nak menjemput ramai orang.

"Kami sendiri agak risau sebab macam ada anak kecil, Jeanelle Nika Mandagie yang baru berumur dua setengah tahun. Jadi, kita tak nak ambil risiko nak beraya ke rumah orang atau mengundang ramai tetamu untuk datang ke rumah," katanya kepada mStar.



Jovian (dua, kanan) bersama keluarga mentua pada 1 Syawal. Foto instagram ninaismailsabri

Tema persalinan buat Jovian sekeluarga sempena Aidilfitri kali ini adalah warna krim, bersama koleksi Balik Kampung daripada Jovian Ready-To-Wear (RTW).

Baginya, Aidifitri adalah saat yang paling ditunggu-tunggu kerana ia merupakan tempoh 'ketenangan' buat dirinya selama dua minggu.

"Tempoh dua minggu ini saya tutup office dan biarkan semua orang berehat. Ini adalah masa yang betul-betul saya berehat secara mental dan fizikal.

"Habis saja cuti raya dua minggu, kita akan masuk office dan terus rancang atau meneruskan koleksi-koleksi raya tahun seterusnya yang sememangnya sudah dimulakan sebelum perayaan raya itu sendiri. Jadi, memang kita sibuk sejurus selepas raya," katanya.

Menurut Jovian, kebiasaannya beliau juga akan menggunakan tempoh bercuti itu untuk melancong ke luar negara bersama isteri dan anak selepas aktiviti ziarah bersama keluarga.

"Tapi, apa yang berbeza tahun ini kita harus 'dikuarantin' iaitu tak boleh ke luar negara, semua pintu sempadan dah tutup dan negara luar pun tutup maka kita terpaksa beraya duduk di rumah, pandang muka masing-masing dan tidur je lah kot," ujarnya secara berseloroh, namun tetap akur dengan pelaksanaan PKPB.



Jeanelle Nika Mandagie merupakan puteri Jovian dan Nina. Foto instagram princessmandagie

Berketurunan Malaysia-Indonesia, pereka fesyen itu berkongsi tentang sambutan Aidilfitri di negera republik itu sambil menambah budayanya berbeza dengan negara ini.

"Keluarga saya di Indonesia daripada keluarga Arab, ibu saya merupakan kacukan Indonesia-Arab. Jadi, budaya di Indonesia atau keluarga-keluarga Arab di Indonesia ni biasanya hari raya pertama kita buat kunjung mengunjung, ziarah menziarahi, ziarah kubur dan raya kedua kita akan buat rumah terbuka di rumah nenek saya.

"Rumah terbuka keluarga Arab ni lain sikit, meriah macam konsert. Kita pasang khemah, ada stage, ada penyanyi gambus, penyanyi-penyanyi Arab pun datang. Hampir macam konsert, hampir macam majlis kahwin pun ya juga.

"Satu suasana yang tak pernah ada di Malaysia dan saya rasa itu bukan budaya orang Malaysia sebenarnya, tapi budaya orang Arab. Sambutan ni bermula dari pukul 5 petang sampai 5 pagi. Begitulah kami apabila meraikan Aidilfitri di Indonesia, yang tak pernah dilihat di Malaysia," katanya.



Sambutan Aidilfitri Jovian lebih bermakna selepas berkahwin. Foto instagram ninaismailsabri

Namun, Jovian berkata, sambutan Aidilfitri di Malaysia mempunyai keunikan dan keistimewaannya tersendiri terutama selepas mengakhiri zaman bujang pada 2013.

"Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia sebenarnya agak tenang dan budayanya lain. Apa yang saya suka pastinya adalah makanan, ada keistimewaan tersendiri.

"Apa yang membuatkan sambutan Aidilftri saya di Malaysia lebih istimewa terutama sejak berkahwin adalah saya boleh balik ke kampung, iaitu kampung bapa mentua, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Temerloh, Pahang.

Pastikan tidak over sambut raya tahun ini. Kita sambutlah Aidilfitri tahun ini dengan penuh kesyukuran dan kasih sayang antara keluarga terdekat sahaja

JOVIAN MANDAGIE

"Bila balik ke Temerloh, saya dapat makan makanan yang lain sikit. Macam gulai kawah, nasi lemak Temerloh, dan specialty masakan saudara-mara seperti lontong dan lodeh termasuk nasi kerabu.

"Sebab itu perayaan di Malaysia adalah lain daripada yang lain. Dan juga ramai kawan dan keluarga saya juga berada di Malaysia," katanya yang sering menyambut Aidilfitri bersama keluarga bapa mentuanya, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Keselamatan), dan Aidilfitri kali ini mereka menyambutnya di Kuala Lumpur.



Walaupun Aidilfitri kali ini agak berbeza kerana PKPB, sambutan raya tetap meriah bersama keluarga.

Syawal kali ini bukan sahaja diraikan dengan penuh kesederhanaan, malah menyaksikan pengorbanan umat Islam di negara ini untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,

"Kalau kita tak hentikan rantaian jangkitan Covid-19 sekarang, maka tak habislah masalah Covid-19. Tak habislah PKP, tak habis isu ekonomi kita yang mana tak semua sektor ekonomi atau perniagaan boleh beroperasi. Dan pergerakan kita pun masih terhad.

"Saya harap dengan kerjasama banyak pihak. Kita bersama-sama menjaga penjarakkan sosial dan pastikan tidak over sambut raya tahun ini. Kita sambutlah Aidilfitri tahun ini dengan penuh kesyukuran dan kasih sayang antara keluarga terdekat sahaja.

"Berdandan, bersolek dan bagi Jovianista, pakailah baju rekaan Jovian sama ada baharu atau repeat tahun lepas punya. Masak masakan raya sedap-sedap di rumah, pasang lagu raya dan hias rumah. Kemeriahan tetap ada, jangan sampai hilang suasana raya," kata Jovian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan