suria

Tak bersukan pun boleh turun berat badan! Ini 6 aktiviti di rumah mampu bakar banyak kalori

Terdapat banyak aktiviti bermanfaat boleh dilakukan jika anda kesuntukan masa untuk melakukan senaman formal di luar.

BERJALAN selama 30 minit dapat membakar kira-kira 100-300 kalori atau 200-600 kalori jika anda melakukannya selama satu jam.

Walau bagaimanapun, jumlah kalori yang dibakar ditentukan oleh beberapa faktor, seperti berat badan serta cara berjalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Patut jadi rebutan! Ini 5 bahan semula jadi dalam produk kecantikan Korea

Bagi seseorang dengan berat kira-kira 70kg, sebagai contoh, berjalan kaki selama 30 minit mampu membakar kira-kira 149 kalori.

Walaupun manfaat berjalan kaki selama 30 minit sangat baik untuk kesihatan, sesetengah orang tidak menyukai aktiviti jenis ini atau mungkin tidak mempunyai masa untuk melakukannya.

Jadi berita baik untuk anda ialah, beberapa aktiviti rumah juga sebenarnya boleh membakar kalori, seperti berjalan selama 30 minit atau lebih.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) mengatakan terdapat beberapa pilihan aktiviti berbeza yang boleh membakar kalori, seelain berjalan kaki selama 30 minit, seperti mendaki, berlari, berkebun dan menari.

Berikut adalah beberapa aktiviti di rumah yang dapat membakar kalori:

berkebun

1. Berkebun

Bukan sahaja menyeronokkan, berkebun juga merupakan aktiviti di rumah yang boleh membakar kalori.

Menurut Eating Well, 30 minit berkebun dianggarkan membakar kira-kira 167 kalori.

Dengan berkebun, kita juga dikira seolah-olah bersukan kerana ini adalah cara yang baik untuk mengekalkan rutin aktiviti fizikal tanpa rasa tertekan.

Bukan sahaja kita dapat bakar lemak, kita boleh memiliki taman yang indah!

kanak kanak

2. Lakukan aktiviti dengan kanak-kanak

Mengajak kanak-kanak bermain kadangkala memenatkan. Namun, tahukah anda aktiviti ini boleh membakar kalori yang agak banyak?

Lebih-lebih lagi jika kanak-kanak itu suka bermain sorok-sorok atau aktiviti yang memerlukan kita banyak bergerak.

Bermain bersama kanak-kanak selama 30 minit dianggarkan membakar sekitar 149-186 kalori.

Melibatkan diri dalam aktiviti permainan yang lebih rancak, apatah lagi dengan pergerakan seperti melompat, boleh membakar sehingga 186 kalori setiap 30 minit.

potong rumput

3. Memotong rumput

Siapa sangka memotong rumput juga merupakan satu lagi aktiviti rumah yang boleh membakar banyak kalori.

Cukup selama 30 minit sahaja lakukan aktiviti ini dapat membakar sekitar 167 kalori.

Bukan sahaja membakar kalori, aktiviti ini sekali gus membantu kita mendapatkan halaman rumah yang lebih bersih.

sapu sampah

4. Menyapu sampah dalam rumah

Mengemas rumah adalah sebahagian daripada rutin harian memenatkan dan memikirkannya sahaja membuatkan kita malas.

Walau bagaimanapun, membersihkan rumah sebenarnya boleh membakar lebih banyak kalori daripada berjalan kaki.

Menyapu lantai atau melakukan pembersihan menggunakan pembersih vakum boleh membakar kira-kira empat kalori seminit.

Untuk meningkatkan jumlah kalori yang dibakar, kita boleh memasukkan pergerakan senaman, seperti melakukan lunges semasa membersihkan lantai.

Pergerakan lunges bukan sahaja melatih bahagian otot di bahagian bawah badan, malah membantu otot perut untuk membantu kita mengimbangi badan semasa aktiviti lunges.

susun barang

5. Mengemas atau mengalihkan barang

Memindahkan barang terutamanya barang berat juga merupakan aktiviti rumah yang boleh membakar kalori yang agak banyak.

Menaiki tangga sambil membawa bebanan 0.5-6.5kg boleh membakar kira-kira enam kalori seminit.

Bergerak pantas sambil mengekalkan postur yang baik adalah bagus bagi mengelakkan cedera otot dan meningkatkan pembakaran lemak.

kemas bilik

6. Kemas tempat tidur

Ramai antara kita yang malas mengemas katil sedangkan aktiviti ini juga dapat membantu membakar kalori.

Mengemas katil juga boleh membakar kira-kira dua kalori seminit.

Supaya menjadikan aktiviti ini membakar lebih banyak kalori, kita boleh memasukkan aktiviti sukan seperti lunges, terutamanya side lunges.

Setiap individu dianggarkan mampu membakar kira-kira 200 kalori dengan melakukan aktiviti rumah.

Walaupun ramai pakar kecergasan tidak akan mengesyorkan aktiviti rumah tangga sebagai satu bentuk senaman yang kerap, aktiviti ini boleh membantu kita membakar lebih banyak kalori jika dijadikan rutin senaman harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain