suria

Chanel, Louis Vuitton catat carian tertinggi global setiap hari... ini 10 beg tangan berjenama paling dicari!

Yves Saint Laurent antara jenama beg tangan mewah yang digilai pencinta fesyen.

TREND dalam dunia fesyen pasti akan datang dan pergi tetapi rekaan yang klasik tetap akan diminati sepanjang masa.

Contohnya jenama mewah seperti Chanel dan Louis Vuitton, meskipun mengeluarkan rekaan terbaharu setiap musim, namun ia masih menjual koleksi klasik yang masih mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

ARTIKEL BERKAITAN: Patut jadi rebutan! Ini 5 bahan semula jadi dalam produk kecantikan Korea

Jenama-jenama ini bukan sahaja menjual produk tetapi lambang kemewahan sehingga menjadikan ia antara barangan yang harus dimiliki.

Maka tidak hairan, baik lelaki atau perempuan, mereka berlumba-lumba mendapatkan barangan berjenama ini sebagai salah satu lambang status mereka.

Tapi tahukah anda apakah jenama paling popular sepanjang zaman? Berikut adalah 10 barangan mewah paling popular.

Chanel

1. Chanel

Siapa tidak kenal dengan jenama Chanel yang menjangkau musim dan zaman, maka tidak hairan Chanel berada di tangga pertama sebagai jenama paling banyak dicari.

Sebanyak 135,000 carian global dilakukan setiap hari tentang jenama ini dan ia jenama paling terkenal di Eropah, Rusia, Sepanyol dan Norway.

Rekaan paling digemari pelanggan sudah tentu, beg tangan quilted rekaan Coco Chanel pada 1955 yang terkenal sebagai simbol kemewahan.

Louis Vuitton Alma

2. Louis Vuitton

Louis Vuitton antara yang digilai termasuk Malaysia dan jenama itu mendapat 110,000 carian di internet setiap hari.

Jenama ini terkenal kerana ia membuka jalan bagi trend logomania yang kekal relevan sehingga ke hari ini. Dengan pebagai pilihan beg tangan mewah, paling ikonik adalah Louis Vuitton Alma.

Didatangkan dalam pelbagai variasi, model ini menawarkan keanggunan dan praktikal serta tak lekang oleh waktu.

Prada Cleo

3. Prada

Dengan carian sebanyak 49,500, Prada menduduki tangga ketiga carian paling tinggi jenama mewah. Mula beroperasi sejak 1913, tidak perlu dipertikaikan lagi impak jenama ini sehingga ia sangat digemari oleh selebriti, orang kenamaan serta pencinta fesyen.

Salah satu rekaannya adalah Prada Cleo yang digemari kerana mudah disesuaikan dengan pelbagai gaya selain bentuknya yang ringkas namun elegan.

Valentino Garavani Stud Sign

4. Valentino

Dengan 22,000 pencarian global, Valentino antara jenama buruan di 11 buah negara seperti Eropah, Amerika Syarikat, China, Itali dan Iceland.

Baru-baru ini, jenama itu melancarkan beg tangan Valentino Garavani Stud Sign dan menjadi kegilaan bintang terkenal seperti CL dan Tiffany Young.

Diperbuat daripada kulit dengan kemasan logo V serta Roman Stud dalam lapisan kekuningan antik, beg tangan itu adalah koleksi terbaharu untuk musim luruh/sejuk 2021.

Hermes

5. Hermes

Hermes berada di tangga kelima dalam senarai dengan 18,100 pencarian global. Hermes cukup dikenali dengan pembuatannya yang cukup kemas dan teliti menjadikan harganya cukup mahal!

Sejak 1984, jenama itu menjadi simbol kekayaan dan eksklusif bukan sahaja kerana harganya namun pembeli perlu menempah dan menunggu dalam tempoh lama untuk memiliki sebuah beg tangan Hermes.

Marc Jacovs

6. Marc Jacobs

Meskipun Marc Jacobs harganya lebih murah berbanding jenama mewah lain, namun beg tangan keluarannya terbukti sangat popular.

Paling ikonik adalah beg tangan Stam dan kerana rekaan itu juga, jenama itu mendapat populariti di seluruh dunia.

Fendi

7. Fendi

Jenama berasal dari Itali ini pernah menempuh waktu sukar untuk mendapatkan status mewah ketika ia dilancarkan pada 1925.

Bagaimanapun rekaan Fendi Baguette yang dihasilkan perekanya, Silvia Venturini Fendi pada 1997 telah membuatkan jenama itu melonjak dan menjadi sebutan dalam kalangan penggemar fesyen.

YSL

8. Yves Saint Laurent

Terkenal dengan rekaan revolusi dan liberal, Yves Saint Laurent kini adalah antara jenama mewah terkenal dunia. Salah satu beg tangan yang paling digemari pelanggan adalah Saint Laurent LouLou.

Ia antara beg tangan yang menjadi rebutan kerana dianggap pelaburan terbaik apatah lagi kualitinya membuatkan ia boleh dipakai dalam tempoh lama.

Mouawad 1001 Nights Diamond Purse

9. Mouawad

Jika ada yang belum pernah mendengar tentang Mouawad, maka ini masanya untuk anda mengenalinya. Beg tangan ikonik Mouawad 1001 Nights Diamond Purse telah melonjakkan nama jenama tersebut.

Beg tangan itu antara termahal di dunia dan dijual pada harga AS$3.8 juta (RM12 juta), malah ia turut tercatat dalam Guiness Book of World Records sebagai beg tangan paling mahal pernah dihasilkan.

Hilde Palladino

10. Hilde Palladino

Hilde Palladino cukup terkenal dengan beg tangan yang dihasilkan daripada kulit buaya putih dan bertatahkan berlian dan untuk mendapatkannya bukan mudah.

Jenama berasal dari Norway ini cukup eksklusif dan seperti Hermes, pelanggan perlu membuat tempahan dan menunggu lama bagi mendapatkan sebuah beg tangan jenama itu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain