suria

Nak kurus perlu betul caranya! Ketahui 7 gangguan kesihatan jika berterusan amal diet melampau

Amalan diet ketat membahayakan kesihatan lebih-lebih lagi jika dilakukan dalam jangka masa panjang.

DIET sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat tempatan, dari menjaga rutin pemakanan harian, kepada melakukan pelbagai senaman untuk kelihatan ramping dan mendapat berat badan ideal.

Bagaimanapun, amalan diet secara ketat boleh membahayakan kesihatan seseorang, lebih-lebih lagi apabila kaedah penurunan berat badan ini dilakukan dalam jangka masa yang panjang.

ARTIKEL BERKAITAN: Anda tiba-tiba ‘bad mood’? Mungkin sebab 5 makanan ini

Perlu diketahui, diet ketat atau ekstrem seperti mengurangkan pengambilan makanan secara drastik demi menurunkan berat badan dengan cepat, tidak mengikut waktu makan yang sesuai, semuanya boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan dari segi fizikal mahupun mental.

Walaupun tindakan itu mungkin menawarkan hasil yang menggembirakan untuk mereka yang mahu cepat kurus, namun ia masih mampu mencetuskan beberapa gejala sampingan yang mungkin terjadi, termasuklah;

1. Gangguan pemakanan

Masalah gangguan pemakanan adalah tabiat pemakanan seseorang sehingga membahayakan kesihatan fizikal dan juga psikososial seseorang, termasuklah terdedah kepada penyakit seperti Anorexia Nervosa.

Penyakit Anorexia Nervosa (kekurangan berat badan yang teruk) merupakan satu keadaan di mana seseorang sengaja mengehadkan pengambilan makanan dan lazimnya tidak mahu mengekalkan berat badan yang normal dengan ketinggiannya.

Pelbagai kajian di dunia menilai bahawa gangguan pemakanan secara amnya berkait rapat dengan cara seseorang mengikuti kaedah diet yang ketat, tanpa menghiraukan akan risiko yang mungkin berlaku.

2. Gangguan metabolisma

Diet yang ketat juga boleh melemahkan sistem metabolisme badan, kerana sistem dalam badan terpaksa bekerja lebih.

Pakar menyatakan gangguan ini dipengaruhi oleh hormon badan yang memberi isyarat kepada otak sama ada anda kenyang atau lapar.

Namun, pengamal diet ketat kebiasaannya akan menahan lapar berpanjangan, malah ada yang menggantikan makanan dengan hanya minum air. Akibatnya, individu itu akan berasa lemah hingga kurang bertenaga.

3. Kehilangan jisim otot

Kajian menunjukkan bahawa diet ketat untuk menurunkan berat badan dengan cepat boleh merosakkan otot, berbanding penurunan berat badan yang lebih stabil.

Sementara itu, kajian yang diterbitkan dalam The American Journal of Clinical Nutrition melaporkan akan terjadi penurunan jisim otot yang berlebihan akibat diet yang ketat.

Kehilangan jisim otot berlaku kira-kira lima peratus secara keseluruhan yang disebabkan oleh pengaruh diet seseorang itu turut mengurangkan jumlah kalori harian.

4. Kurang tenaga

Simptom itu juga mampu mengakibatkan seseorang kehilangan tenaga disebabkan diet yang ketat berfungsi mengurangkan simpanan air dalam badan.

Sumber tenaga simpanan dalam tubuh akan berkurangan disebabkan diet ekstrem, jadi badan akan mudah berasa letih dan lesu.

Selain itu, kekurangan tenaga ini disertai dengan dehidrasi, sakit kepala atau pening, akibat badan kehilangan cecair.

5. Rambut gugur

Hasil kajian lain dalam jurnal Dermatology Practical & Conceptual menunjukkan bahawa diet yang ketat dikaitkan dengan keguguran rambut akibat kekurangan bekalan nutrien.

Keadaan ini menyebabkan rambut anda mulai gugur sehingga tidak berfungsi seperti sebelumnya.

Selain menyebabkan keguguran rambut, diet yang ketat juga memberi kesan kepada tempoh pertumbuhan rambut yang mana ia akan menjadi lebih perlahan.

6. Tahap antibodi atau imuniti rendah

Bahaya diet ketat ini tidak boleh dipandang ringan, ia sangat berisiko menurunkan sistem imuniti badan seseorang.

Akibatnya, badan akan kekurangan nutrien penting seperti vitamin dan mineral. Kedua-dua nutrien ini memainkan peranan penting dalam menguatkan sistem imuniti.

Bagaimanapun, sistem imuniti yang lemah boleh menjadikan badan lebih mudah terkena serangan pelbagai penyakit.

7. Kemurungan

Memetik Eat This Not That, salah seorang doktor di Harold C. Schott Foundation, Dr Anna Guerdjikova, berkata diet yang melampau sememangnya mempunyai risiko gangguan mental.

Mereka yang mengamalkan diet ketat secara konsisten melaporkan perasaan bersalah dan menyalahkan diri sendiri yang membawa kepada kebimbangan, kemurungan dan kesukaran untuk menumpukan perhatian.

Lebih-lebih lagi jika diet itu dijalankan oleh golongan remaja, gangguan mental boleh menjejaskan kualiti hidup mereka.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain