WAJAH yang secara tiba-tiba ditumbuhi jerawat sering dikaitkan dengan ketidaksesuaian produk penjagaan wajah. Namun jika terjadi dalam jangka waktu yang singkat, ia berkemungkinan terkait dengan faktor kebersihan kawasan sekitar termasuk sarung bantal. ARTIKEL BERKAITAN: Peluh, air liur punca bantal jadi kuning... elak dibuang, ini cara bersihkannya dengan mudah! ARTIKEL BERKAITAN: Bukan hanya muka, ketahui bahagian lain tubuh mudah tumbuh jerawat Percaya atau tidak, begitulah kupasan Pengarah Perubatan Prive Clinic di Singapura, Dr Leow Hong Foo. Menurutnya, terdapat banyak tompokan bakteria pada pelitup muka yang dipakai sepanjang hari dan ia antara punca berlakunya jerawat 'singkat' di sekililing kawasan tertutup itu. Tambahnya, bakteria yang melekat pada pelitup muka tersebut boleh sahaja diperoleh daripada persekitaran dan aktiviti harian. Menjelaskan lebih lanjut, Dr Hong Foo menyenaraikan lima faktor lain yang menjadi punca jerawat terjadi di wajah. 1. Sering menyentuh kulit wajah Tangan merupakan anggota yang mudah dihinggapi bakteria. Sebahagian daripada kita sering menyentuh wajah tanpa disedari dan ia sudah menjadi kebiasaan. Perlu diingat bahawa tangan merupakan anggota badan yang dipenuhi bakteria dan jika ia menyentuh muka, maka bakteria mudah merebak ke bahagian tersebut. Tabiat suka memicit jerawat juga tidak elok kerana ia boleh menyebabkan kesan yang lebih buruk kepada kulit wajah. Ini kerana, selain mengakibatkan jangkitan pada kawasan lain, ia juga boleh melambatkan penyembuhan. 2. Tabiat syampu rambut pada akhir mandian Kebanyakan produk perawatan rambut mengandungi minyak dan silikon yang pastinya memberi kesan cantik kepada rambut. Namun jika ia digunakan pada saat akhir mandi, saki baki produk tersebut berkemungkinan tertinggal di kulit wajah. Kandungan tersebut juga boleh menyumbat pori-pori dan menyebabkan jerawat. Oleh itu, disyorkan supaya rambut dicuci dan dibilas pada mandian awal. 3. Gemar makanan manis Makanan manis antara punca kulit ditumbuhi jerawat. Pengambilan makanan atau minuman yang manis juga boleh menjadi salah satu punca jerawat timbul. Kandungan gula tersebut dapat meningkatkan kadar insulin sekali gus mengganggu hormon yang menyebabkan jerawat. Jika craving makanan manis, lebih baik mengamalkan pengambilan buah-buahan atau coklat hitam (dark choclate). 4. Jarang mengganti tuala mandi Tuala yang digunakan untuk lap muka boleh mengakibatkan jerawat tumbuh jika ia tidak diganti atau dibasuh dengan baik. Malah, bakteria juga mudah membiak lebih lagi jika ia sering digunakan untuk mengelap peluh selepas penat bersukan. Bagi mereka yang aktif bersukan, seeloknya membawa dua jenis tuala iaitu untuk tujuan lap peluh dan satu lagi bagi mengelap wajah selepas dibersihkan. 5. Sarung bantal kotor Bantal yang digunakan secara harian boleh juga menjadi penyebab wajah ditumbuhi jerawat. Ini kerana, tanpa disedari, sarung bantal yang tidak diganti secara berkala itu menjadi tempat pengumpulan sel kulit mati, minyak muka seterusnya menyebabkan bakteria membiak. Apabila berlakunya tindak balas seperti itu, bakteria akan menyumbat pori-pori sehingga terjadinya jerawat. Walaupun bantal tidak terlihat kotor, namun kebersihannya harus dijaga dengan sentiasa menukar sarung bantal secara berkala di samping membersihkan wajah sebelum tidur. Tidur dengan solekan juga menjadi punca pori tersumbat. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI