suria

Tak sia-sia dikecam sebab anggap beg tangan Charles & Keith ‘mewah’, gadis dipanggil jadi duta komuniti syarikat

Wanita ini menjadi model bagi Charles & Keith selepas dikecam.

MENGIMBAS kembali satu kejadian pada awal tahun ini, tular kisah melibatkan seorang wanita dari Singapura, Zoe Gabriel yang dikecam hebat di media sosial.

Lebih senang disapa sebagai Zoe, dia menerima kritikan daripada sesetengah pihak kerana menghargai dan bangga menggayakan beg tangan berjenama Charles & Keith (C&K) pemberian bapanya.

Zoe menganggap ia merupakan beg tangan mewah pertama yang berjaya dimilikinya dan sempat memuat naik video di laman TikTok sebagai kenang-kenangan.

Zoe menerima kecaman pada awal tahun ini.

Namun begitu, sesetengah warga maya di ruangan komen membantutkan kegembiraan Zoe dengan memberitahu beg tangan itu tidak layak berada dalam kelas premium atau mewah.

Terkesan secara emosi kerana dipandang rendah sebegitu, Zoe tampil menjelaskan bahawa dia bukannya dari keluarga berada dan mereka sejak kecil tidak mampu membeli barangan yang diimpikan.

Siapa sangka Zoe kini mendapat perhatian firma fesyen Charles & Keith dan dia dijemput untuk mengikuti lawatan istimewa ke ibu pejabat mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis tetap anggap bapa hadiahkan beg tangan jenama mewah walau netizen kata low class - “Setiap orang berbeza definisi bahagia”

zoe

Zoe dan bapanya di ibu pejabat Charles & Keith.

Selain itu, Zoe sekeluarga juga diajak untuk makan tengah hari bersama pengasas syarikat itu.

Beberapa bulan selepas kisahnya tular, gadis berumur 17 tahun itu kini muncul pula sebagai duta komuniti untuk jenama itu.

Zoe juga terlibat sebagai salah seorang model untuk kempen Hari Wanita Sedunia anjuran firma fesyen tersebut.

Zoe dilihat memuat naik gambar di Instagram menggayakan koleksi tas tangan Charles & Keith iaitu Alia Chain-Strap Crossbody Bag.

Zoe menjadi model untuk Charles & Keith.

Gambar Zoe itu juga dimuat naik di akaun media sosial rasmi syarikat ini.

Tas tangan edisi Alia yang digayakan oleh Zoe itu dilancarkan sempena program kesaksamaan jantina yang dikelolakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Di samping itu, Zoe juga menyertakan mesej ditulis tangan di atas kertas sebagai satu bentuk sokongan kepada program tersebut.

"Kekangan masa dan tanggungjawab yang membelenggu boleh menyebabkan kita kaum Hawa sukar untuk membesar, tetapi itu tidak mengapa.

"Kita mungkin berbeza tapi kita adalah istimewa dengan cara kita yang tersendiri.

"Hari Wanita Sedunia kali ini ayuh kita sambut dengan rasa ihsan dan kesaksamaan," ujar Zoe.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain