TIADA angin tiada ribut, tiba-tiba sahaja trend memotong bulu mata sehingga pendek semakin popular dalam kalangan lelaki semata-mata mahu kelihatan lebih maskulin.
Segelintir kaum Adam percaya, memiliki bulu mata yang panjang dan lentik dianggap feminin dan mempunyai sifat kewanitaan.
Namun, tindakan tersebut boleh mendedahkan mereka kepada lebih banyak risiko dan bahaya terutamanya pada bahagian mata.
Menurut portal Huffpost, berikut adalah sebab mengapa memotong bulu mata tidak disarankan daripada segi perubatan dan kesan jangka panjang terhadap kesihatan mata.
Memotong bulu mata berisiko menyebabkan kecederaan pada mata.
1. Berisiko kemalangan
Menurut pakar bedah mata, Doktor Ashley Hayden, memotong bulu mata dengan meletakkan objek tajam berdekatan mata anda adalah tindakan berbahaya dan kurang bijak.
Ini kerana ia berisiko merosakkan permukaan halus mata iaitu kornea sehingga menyebabkan komplikasi seperti keratitis, ulser kornea dan keradangan.
Mata bukanlah bahagian anggota yang boleh dipandang remah, tersilap langkah anda mungkin tidak dapat melihat untuk selamanya.
2. Perengsa berisiko masuk ke dalam mata
Dalam pada itu, bulu mata diciptakan Tuhan dengan fungsi tertentu, ia bertindak sebagai penyapu atau penghalang daripada habuk, kotoran atau serpihan kecil daripada bersentuhan dengan mata.
Bahkan, ia juga berfungsi untuk menyekat kuman dan bakteria daripada masuk ke dalam mata sekali gus menghalang jangkitan mata.
3. Menganggu filem pemedih mata
Memotong bulu mata menjejaskan filem pemedih mata iaitu lapisan cecair nipis yang melindungi mata daripada perengsa.
Sekiranya filem pemedih mata terganggu, mata akan berisiko menjadi cepat kering terutamanya bagi mereka yang sering melihat skrin komputer atau peranti digital.
4. Terdedah kepada kecederaan mata
Bulu mata juga berfungsi untuk mencetuskan tindakan refleks pada mata sekiranya ia mengesan objek bergerak mendekatinya.
Sebagai contoh, bulu mata merasakan objek seperti jari atau serangga perosak bersentuhan dengan permukaan mata dan mencetuskan refleks berkedip untuk mengelakkan berlakunya kecedederaan.
5. Mengurangkan perlindungan daripada matahari
Bulu mata melindungi daripada sinaran cahaya berbahaya atau mengurangkan sensitiviti kepada cahaya terang.
Kajian perubatan menunjukkan bulu mata mengurangkan cahaya ultraviolet yang diterima oleh kornea sebanyak kira-kira 12-24 peratus.
Oleh itu, tindakan memotong bulu mata meningkatkan risiko kanser mata dan kelopak mata serta menggalakkan pembentukan katarak.