MEMILIKI kulit wajah yang berseri dan bebas djerawat pasti menjadi impian setiap individu khususnya wanita.
Kulit yang sihat bukan sahaja mencerminkan kecantikan luaran, tetapi juga meningkatkan keyakinan diri seseorang.
Dalam usaha mendapatkan kulit idaman, ramai sanggup mencuba pelbagai petua dan trend kecantikan yang mereka temui di internet termasuklah menggunakan bawang putih untuk merawat jerawat.
Malangnya, tak semua petua boleh diamalkan memandangkan setiap orang mempunyai jenis kulit berbeza-beza bergantung kepada tahap sensitiviti masing-masing.
Perunding dermatologi Dr Aanchal Panth tidak menolak bahawa bawang putih sememangnya bersifat antibakteria yang boleh merencatkan pertumbuhan kuman pada jerawat.
Namun, menyapu bahan itu secara langsung pada kulit sebenarnya berisiko menyebabkan iritasi sekali gus memburukkan lagi masalah jerawat malah boleh merosakkan kulit normal.
Penjagaan kulit penting untuk meningkatkan keyakinan diri.
"Ia mempunyai sifat antibakteria dan anti-radang yang digunakan untuk mengurangkan pertumbuhan bakteria berlebihan pada jerawat.
"Namun, ia boleh merengsakan kulit sehingga menyebabkan iritasi serta kulit melecur, kemudian selepas sembuh ia meninggalkan tompok gelap.
"Menyapu bawang putih pada kulit adalah sesuatu yang perlu dielakkan sepenuhnya. Ia boleh merosakkan kulit normal anda dan memburukkan lagi keadaan," katanya.
Dalam pada itu, Dr Aanchal menyarankan beberapa alternatif lain yang lebih selamat untuk merawat jerawat:
1) Guna pelekat jerawat (acne patch)
Diperbuat daripada hidrogel (hydrocolloid), pelekat jerawat sesuai digunakan untuk menutup dan melindungi jerawat merah kecil serta mempercepatkan penyembuhan.
2) Rawatan serum
Gunakan serum asid salisilik sebanyak dua kali seminggu namun hanya sesuai digunakan merawat jerawat yang muncul sekali sekala dan bukannya jerawat aktif.
Cara penggunaan mudah, hanya sapukan sedikit produk pada wajah dan biarkan semalaman untuk penyerapan. - AGENSI