MEMASTIKAN solekan kekal cantik dan tahan lama semasa berpuasa menjadi satu cabaran buat para wanita.
Berpuasa menyebabkan manusia kekurangan air dalam badan, mengalami dehidrasi seterusnya menjejaskan tahap kelembapan kulit.
Menurut portal Vogue India, wanita perlu memberikan tumpuan terhadap beberapa langkah penting ketika bersolek untuk memastikan solekan tidak luntur biarpun seharian melakukan aktiviti.
1. Persediaan kulit (skin prep)
Menyapukan asas (primer) pada kulit yang tidak lembap boleh menyebabkan solekan tidak sekata dan bercapuk.
Oleh itu, lakukan persediaan mengikut kesesuaian dan keperluan kulit wajah, misalnya kulit berminyak sesuai gunakan pelembap bertekstur gel ringan.
Gunakan produk penjagaan kulit yang memfokuskan kepada penghidratan memandangkan kulit mudah kering apabila berpuasa.
2. Gunakan primer
Ramai orang sering melangkau langkah ini dalam solekan mereka sedangkan ia boleh membantu solekan bertahan lebih lama.
Pilih primer yang sesuai mengikut jenis kulit, misalnya individu kulit berminyak gunakan primer mattifying pada kawasan zon T untuk mengawal pengeluaran minyak tanpa keringkan muka.
Skin prep penting untuk memastikan kulit sentiasa sihat.
3. Elak solekan tebal
Menggunakan terlalu banyak produk mungkin lebih praktikal tetapi ia sebenarnya menjadikan solekan kelihatan pudar.
Lapisan produk yang tebal cenderung membuatkan solekan berkedut dan bercapuk.
Oleh itu, gunakan teknik layering dengan menggunakan produk dalam kadar sedikit dan lapisan nipis serta fokuskan ke kawasan yang memerlukan banyak liputan (coverage).
4. Jangan lupa bedak
Bedak memainkan peranan penting dalam 'mengunci' solekan supaya tidak luntur.
Jadi pilih bedak yang mempunyai tekstur licin dan halus supaya ia tidak kelihatan berketul apabila disapu.
Gunakan berus kecil untuk menyapu bedak pada kawasan yang cenderung berminyak dan berkedut seperti bawah mata, sekitar mulut, dahi dan hidung.
5. Lapiskan tekstur yang berbeza
Satu 'helah' yang boleh digunakan ialah lapiskan produk berasaskan krim dan serbuk sekali.
Sebagai contoh, sapukan pemerah pipi krim (cream blusher) dahulu, kemudian lapiskan ia dengan pemerah pipi serbuk (powder blusher) dalam warna yang sama.