suria

Berbaloi ke simpan emas wafer serendah 0.2g untuk pelaburan? Jangan terlalu ghairah, tak semua kedai nak beli semula

Kepingan emas kurang daripada 0.5 gram melekat pada plastik laminasi.

RAMAI yang mengikut trend menyimpan emas 999.9 jenis wafer kurang daripada 0.5 gram sebagai pelaburan masa hadapan atau koleksi peribadi mahupun hadiah.

Maklumlah selain 'murah' dan senang dimiliki, ia dikeluarkan bersama kad yang dihiasi dengan pelbagai rekaan menarik serta mengikut tema tertentu seperti Hari Raya Aidilfitri, Covid-19, hari lahir mahupun Hari Kebangsaan.

Namun berbaloikah simpanan emas jenis wafer yang kurang daripada 0.5 gram jika dibandingkan dengan barang kemas perhiasan?

Untuk rekod, kebanyakkan emas wafer pelbagai corak dalam pasaran dijual pada berat serendah 0.2 gram dan ke atas.

Emas wafer 0.2 gram menjadi pilihan ramai kerana harganya yang murah iaitu sekitar kurang daripada RM150 bagi setiap kepingaan bergantung kepada harga emas semasa.

Menerusi hantaran di laman TikTok, pengendali akaun Emas STM Shah Alam Seksyen 18 menjelaskan situasi pelaburan emas jenis wafer berkenaan.

Menurut wakil jualan premis itu, emas wafer seberat kurang daripada 0.5 gram merupakan produk pilihan kebanyakan masyarakat masa kini yang beranggapan ia mudah 'dicairkan' pada bila-bila masa.

Antara rekaan packaging wafer emas 1 gram yang sering dijadikan koleksi. -Gambar hiasan

Antara rekaan packaging wafer emas 1 gram yang sering dijadikan koleksi. -Gambar hiasan

Bagaimanapun, ujarnya, kebanyakan pemilik kedai emas sukar membeli wafer emas tersebut disebabkan beberapa faktor.

Malah ada yang membeli semula dengan harga murah berbanding nilai semasa.

"Sebenarnya bukan mudah (pemilik) nak jual semula... sebab jenis (wafer) ni memang renyah kalau kedai nak ambil.

"Emas adalah jenis nipis dan selalunya melekat pada plastik laminasi. Jadi pihak kedai perlu leburkannya bersama plastik sebelum asingkan semula.

"Banyak kerja nak kena buat, bukan kedai tak mahu ambil tapi sukar nak dapatkan betul-betul kepingan emas tersebut," katanya.

Malah jurucakap premis tersebut turut menyatakan pihaknya mengambil masa sehingga satu hari bagi mendapatkan kepingan emas berkenaan.

"Packing emas ni memang cantik tapi sukar untuk mengeluarkannya daripada plastik. Ada kedai yang memang tak ambil langsung.

"Jadi fikir-fikirkanlah sebelum membeli emas wafer untuk buat pelaburan.

"Nak simpan emas kena tengok betul-betul, memang ia berharga tapi kalau sukar nak jual semula... tidak akan menjadi pelaburan.

"Kalau nak beli emas beli satu gram atau (sekurang-kurangnya) 0.5 gram... senang untuk kita jual semula kepada pihak kedai emas," ujarnya memberi nasihat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain