suria

Ejen hartanah nasihat individu gaji bawah 5K tak patut miliki rumah sendiri... Kalau nak beli juga, ada satu syarat!

Pertimbangan rapi perlu dibuat ketika membeli rumah. -Gambar hiasan

MEREKA yang sudah berkeluarga pastinya pernah memasang impian untuk memiliki kediaman sendiri bagi keselesaan bersama.

Namun harga rumah yang berharga ratusan ribu ringgit menyebabkan masyarakat kini lebih berhati-hati untuk melabur.

Sehubungan itu, ramai juga yang memilih untuk berterusan menyewa kerana menyedari kemampuan diri.

Melalui satu hantaran di laman TikTok, seorang ejen hartanah dikenali sebagai Marie tampil dengan satu kenyataan kontroversi.

"Kalau gaji kamu belum sampai RM5,000, saya mohon untuk anda jangan beli rumah," ujarnya.

Tempat tinggal merupakan satu keperluan asas untuk berlindung daripada hujan dan panas. -Gambar hiasan

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Marie berkata komitmen tinggi yang ditanggung mereka yang menetap di kota menyebabkan dia berpandangan sedemikian.

"Hartanah yang paling murah kita boleh dapat di pasaran sekarang adalah sekitar RM300,000. Kalau anda beli rumah yang berhaga sebegini, maksudnya anda kena bayar RM1,500 sebulan.

"Jika dikatakan gaji anda tepat RM5,000, ada hanya tinggal sekitar RM3,500 untuk perbelanjaan bulanan seperti untuk bayar insurans, buat simpanan dan sebagainya.

"Kita tengok pula kalau contohnya gaji anda baru RM3,500, tolak RM1,500 untuk rumah tadi, maka anda hanya tinggal RM2,000 bagi perbelanjaan bulanan.

"RM2,000 inilah anda nak guna untuk bayar kereta, bayar pengasuh anak dan sebagainya. Saya boleh cakap kewangan anda untuk bulan tu memang akan jadi negatif," ujarnya.

Marie seterusnya berkata mereka yang bergaji bawah RM5,000 masih boleh membeli rumah tetapi dengan satu syarat.

"Kalau anda mempunyai gaji pasangan yang cukup untuk menampung kehidupan anda sekeluarga, itu mungkin boleh. Maksudnya gaji anda yang sekitar RM3,500 memang digunakan khusus untuk membayar rumah.

"Tapi ini kena berbalik semula kepada persetujuan anda sebagai suami isteri. Cuma untuk pendapat saya, selagi mana gaji anda belum mencecah RM5,000, jangan fikir untuk beli rumah dului," terang Marie.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain