PERNAHKAN anda mendengar teknik pengurusan kewangan dikenali sebagai sistem tiga bank?
Kepada yang tidak tahu, sistem ini digunakan untuk menyimpan duit secara konsisten dan efisien bagi mengelakkan daripada berlakunya perbelanjaan secara berlebihan.
Kebiasaannya anda dinasihatikan untuk menyimpan duit kepada tiga kategori iaitu bank perbelanjaan, bank kemahuan dan bank simpanan.
Menerusi perkongsian di TikTok, pempengaruh kewangan iaitu Dr. Adam Zubir berkata teknik ini juga boleh digunakan bagi memenuhi keperluan bulan Ramadan dan persediaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Mudah saja, anda perlu memecahkan duit kepada tiga kategori (bank).
Adam berkongsi tip itu menerusi video di TikTok.
1. Bank keperluan
Letakkan 50 peratus daripada duit anda untuk bayar keperluan harian seperti sewa rumah, bayaran pinjaman, bil-bil utiliti, zakat dan barang dapur.
Bank ini adalah bank yang digunakan untuk kemasukan duit gaji setiap bulan.
Ia menjadi saluran utama untuk anda memindahkan duit gaji ke dua bank lain.
2. Bank kemahuan
30 peratus daripada duit gaji dimasukkan ke dalam bank ini untuk digunakan bagi menampung kos menyambut lebaran atau membeli-belah barangan raya.
Antaranya seperti baju raya, barang perhiasan rumah, kuih raya atau duit untuk perjalanan pulang ke kampung halaman.
3. Bank amal
Simpan 20 peratus daripada wang ke dalam bank ini untuk aktiviti kebajikan seperti wakaf dan sedekah bagi memenuhi saham akhirat.
Bank ini penting untuk memotivasikan kita memperbanyakkan amalan kebajikan dan ibadah sepanjang bulan Ramadan.