DALAM tidak sedar, golongan muda berusia 25 sehingga 44 tahun merupakan individu yang paling ramai diisytihar muflis akibat sikap ambil mudah dalam pengurusan kewangan.
Berdasarkan laporan Bank Dunia pada Disember 2019, 60 peratus daripada individu yang diisytihar muflis di Malaysia terdiri daripada golongan ini, gara-gara terjebak dengan masalah kewangan di usia muda.
Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, golongan muda berisiko menghadapi beban hutang yang serius sehingga menjejaskan kestabilan kewangan untuk jangka masa panjang.
Menurut pempengaruh kewangan Dr Adam Zubir, terdapat tiga kesilapan yang orang muda perlu elakkan sekiranya mahu menguruskan kewangan dengan lebih berhemah.
Masalah kewangan berpunca daripada sikap boros segelintir pihak.
1. Belanja di luar kemampuan
Ramai merasakan gaji mereka tidak mencukupi kerana jumlahnya kecil, tetapi hakikatnya, belanja tanpa kawalan adalah punca utama kepada masalah kewangan.
Walaupun bergaji RM10,000, jika perbelanjaan melebihi pendapatan, masalah tetap sama sekiranya berbelanja secara boros dan tidak bijak menguruskan kewangan.
Lihat saja nasib beberapa bintang bola sepak antarabangsa seperti Ronaldinho dan David James yang pernah menikmati kemewahan dan bergelar duta jenama terkemuka tetapi akhirnya muflis dalam tempoh lima tahun selepas bersara akibat gaya hidup mewah dan sikap boros.
2. Salah guna kad kredit
Dahulu, memohon kad kredit sukar tetapi kini prosesnya lebih mudah sekali gus menjadikannya lebih mudah diakses, terutama oleh golongan muda.
Namun, kemudahan ini juga membawa risiko besar bagi mereka yang tidak bijak mengurus perbelanjaan dan gagal mengawal kewangan mereka.
Ini kerana kad kredit boleh menjadi perangkap hutang jika digunakan tanpa kawalan misalnya membayar jumlah minimum mungkin nampak ringan tetapi faedah sehingga 18 peratus setahun boleh menyebabkan hutang semakin bertambah.
Jika tidak dilunaskan segera, beban kewangan boleh menjadi tidak terkawal. Kad kredit sepatutnya menjadi alat kewangan, bukan beban jangka panjang.
3. Buat pinjaman peribadi (personal loan)
Segalanya nampak mudah dengan melalakukan pinjaman untuk memenuhi keinginan kita seperti ubah suai rumah, beli kereta atau belanja kahwin.
Namun, hakikatnya berhutang untuk sesuatu yang tidak mampu dimiliki hanya merosakkan kewangan secara perlahan-lahan.
Jika mahukan sesuatu, menabung adalah pilihan terbaik kerana hidup akan menjadi lebih tenteram tanpa hutang yang bertimbun.
Siapa tidak mahu 'easy money', tetapi golongan muda perlu ingat bahawa mereka berisiko menjadi ketagih untuk meminjam sehingga personal loan yang disangka menjadi solusi hidup selesa bertukar kepada beban jangka panjang.
Justeru golongan muda perlu sedar kesilapan kewangan hari ini boleh merosakkan masa depan dan keluarga.