suria

Mampu RM2, tangan gigil hulur RM10! Bagi duit raya ikut bajet sendiri, usah stres lihat orang lain beri banyak

Menguruskan wang dengan baik sepanjang Aidilfitri ini agar tidak menjejaskan kestabilan kewangan.

PEMBERIAN duit raya sudah menjadi tradisi turun temurun dan sebati dengan masyarakat Malaysia tiap kali tibanya Aidilfitri.

Selain mengeratkan silaturahim, amalan memberikan duit raya turut menerapkan nilai murni bersedekah kepada keluarga, saudara-mara dan mereka yang memerlukan.

Namun dalam keterujaan berkongsi rezeki, anda dinasihatkan untuk menguruskan wang dengan baik sepanjang Aidilfitri ini tanpa menjejaskan kestabilan kewangan selepas raya.

Pempengaruh kewangan Dr. Adam Zubir, menyenaraikan tip pengurusan kewangan yang bijak sebelum memberikan duit raya:

1. Tetapkan bajet anda

Nilai yang ditetapkan mesti bergantung pada kemampuan supaya anda dapat menguruskan kewangan dengan bijak.

Jangan terikut-ikut bajet orang lain misalnya, mereka bagi RM10 seorang, anda juga nak beri nilai yang sama sedangkan anda hanya mampu beri RM2 sahaja.

Sekiranya bajet ditetapkan sekitar RM600 pada tahun ini, anda mesti tahu berapa nilai duit raya yang hendak diberikan kepada keluarga terdekat dan kenalan.

Sebagai contoh, RM100 untuk ibu bapa, RM20 untuk adik beradik, RM10 untuk anak saudara dan RM5 untuk ahli keluarga terdekat.

Usah rasa tertekan atau malu dengan nilai yang anda berikan kerana perkara paling penting adalah pemberian itu ikhlas dan masih dalam bajet.

Pemeberian duit raya mestilah mengikut kemampuan masing-masing.

2. Tukar duit baharu awal-awal

Selepas tetapkan bajet, pastikan anda menukar duit raya lebih awal kerana dibimbangi bank akan kehabisan wang baharu.

Menggunakan wang sedia ada mungkin kurang sesuai kerana ada yang sudah lusuh, terlipat atau terkoyak.

Antara tip menukar duit raya adalah pergi ke bank-bank yang kurang menjadi tumpuan orang ramai agar lebih mudah untuk mendapatkan duit baharu.

3. Masukkan duit dalam sampul mengikut kategori

Sediakan sampul dalam pelbagai warna atau corak untuk membezakan jumlah duit raya mengikut kategori.

Misalnya, sampul warna oren untuk RM20, sampul merah RM10 dan sampul hijau untuk RM5.

Dengan sistem ini, pemberian duit raya menjadi lebih teratur tanpa perlu terkial-kial mencari jumlah yang sesuai.

Ia juga membantu mengawal bajet, mengelakkan pemberian berlebihan secara tidak sengaja, dan memastikan setiap penerima mendapat jumlah yang telah ditetapkan sejak awal.

 

Artikel Lain