KANAK-KANAK merupakan golongan yang paling gembira apabila menjelang sambutan perayaan.
Maklumlah, selain dapat bertemu dan bermain dengan sanak saudara, mereka juga dapat mengumpul duit raya yang banyak.
Kebiasaannya ibu ayah akan menyimpan duit raya anak-anak di dalam bank supaya dapat digunakan apabila mereka sudah dewasa kelak.
Namun menurut pelayar TikTok dikenali sebagai Syazana Razak, terdapat cara terbaik untuk menyimpan duit raya anak-anak.
Bukan sahaja ‘terpelihara’ malah jumlahnya berkeupayaan untuk berganda daripada nilai yang diperoleh.
“Saya nak ajak mak ayah tukarkan duit raya kepada emas.
“Apabila kita buat simpanan untuk anak-anak, semestinya kita nak buat untuk jangka masa panjang.
“Bolehlah mereka gunakan simpanan nanti untuk sambung belajar,” kongsinya.
Menurut Syazana, simpanan dalam bentuk emas amat menguntungkan kerana nilainya meningkat setiap tahun dengan purata 10 peratus.
“Kalau simpan duit, makin lama makin jatuh nilainya dan tak bertahan untuk jangka masa panjang.
“Oleh itu mulakan tabungan emas sekarang untuk anak-anak supaya mereka boleh gunakan untuk masa depan,” tambahnya.