suria

Fahami kesan kenaikan tarif... Harga sehelai baju pun boleh melambung tinggi!

Pengumuman tarif yang dibuat Donald Trump akan memberi kesan besar kepada rakyatnya.

PENGUMUMAN tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 2 April lalu terus menjadi bualan masyarakat dunia termasuk rakyat Malaysia.

Sebagai rakan dagang ketiga terbesar, semestinya ramai menzahirkan rasa bimbang tentang kemungkinan kenaikan harga barangan termasuk implikasi kepada Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Mengupas tentang perkara itu, Astro Awani berkata, kesan daripada perang tarif ini bukan sahaja kepada China tetapi meliputi ekonomi Amerika Syarikat itu sendiri.

Mengambil contoh sehelai kemeja-T yang berharga 10 dolar Amerika Syarikat (AS).

"Sebagai contoh, bagi peniaga AS membeli baju ini daripada China, tarif yang dikenakan adalah 104 peratus iaitu 10.40 dolar AS.

"Jadi harga baru untuk baju tersebut yang ditambah nilai harga asal dan tarif menjadi 20.40 dolar AS," katanya.

Malaysia juga terlibat dengan kenaikan tarif yang diperkenalkan.

Malaysia juga terlibat dengan kenaikan tarif yang diperkenalkan.

Kesan yang dialami rakyat Malaysia

Memperincikan perkara itu, menurutnya penilaian perbezaan harga adalah mengikut tarif yang dikenakan.

"Ramai peniaga di Amerika Syarikat mula menyuarakan kebimbangan mereka, kos itu terlalu tinggi untuk mereka.

"Mereka telah menanggung kerugian sebelum memperoleh barangan tersebut," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Astro Awani turut menyatakan banyak barangan yang dibeli oleh Amerika Syarikat dari China bakal menyaksikan peningkatan. 

Bagaimanapun terdapat barangan yang mempunyai pengecualian.

Mengaitkannya dengan situasi semasa negara, ujarnya, rakyat Malaysia akan turut terkesan terutama yang mempunyai pinjaman perumahan.

"Apabila inflasi semakin tinggi, perubahan kadar monetari akan terkesan dan di Malaysia ia melibatkan OPR.

"Pinjaman kebanyakan rakyat Malaysia yang bersandarkan pada OPR seperti pinjaman perumahan akan berubah," ujarnya.

Susulan kebimbangan disuarakan masyarakat dunia yang terkesan, pada 9 April lalu Trump tampil mengumumkan penangguhan 90 hari ke atas tarif timbal balik terhadap lebih 75 negara rakan dagang termasuk Malaysia.

Dia turut menyifatkan langkah yang dilakukan itu sebagai hasil rundingan diplomatik dan semangat muhibah.

Artikel Lain