ORANG di sebelah Utara selalunya akan panggil mi rebus dengan nama mi kuah. Kedua-duanya lebih kurang sama tapi cara membuatnya agak berbeza bergantung kepada kreativiti masing-masing. Mi kuah atau mi rebus yang baik, kuahnya tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair. Kalau kuahnya dah cair macam air sungai, tu bukan namanya mi kuah, mungkin mi kari. Berikut ini cara menyediakan mi kuah hasil tangan wartawan mStar, Niezam Abdullah. Hidangan ini untuk 10 orang. Boleh mencuba, insyaAllah kalau diikut dengan betul cara membuatnya, mesti menjadi hidangan ini. Boleh pakat-pakat 'share' perkongsian ilmu ini Bahan-bahannya: Udang basah dalam 300 gram - Asingkan isi dan kulit Udang kering - 3 sudu besar (cuci dan rendam bersama air panas) Ubi keledek (Isi kuning. Jangan guna keledek warna ungu nanti kuahnya juga ungu. Keledek kuning lebih manis). Kalau saiz besar, dua ketul pun cukup Tulang lembu dalam 500 gram - Direbus bersama sup bunjut dan ambil airnya. Jika tak ada tulang, rebusan daging pun memadai. 10 tangkai cili kering dibuang biji dan celur bersama air panas Sebiji bawang besar Setengah cawan sos cili Gula sesedap rasa Daging (gambar kiri) atau tulang direbus dan ambil airnya sementara udang diasingkan kulit dan isi. Bahan lain dan hiasan Mi kuning dua paket dicelur bersama air panas dan kemudian toskan. Jangan sesekali jirus air sejuk. Daun dan batang sawi dicelur Telur rebus dan potong ikut kesesuaian Hirisan daging yang direbus Tahu digoreng dan kemudian dipotong kecil Taugeh Daun sup dan bawang goreng Hirisan cili hijau 2 batang serai Cara membuatnya Potong ketul-ketul ubi keledek dan rebus bersama udang (air rebusan jangan buang). Pastikan keledek isi kuning digunakan (gambar kiri) manakala tepung jagung pula untuk menjadikan kuah pekat. Apabila ubi sudah empuk, biarkan sejuk seketika, kisar ia bersama udang yang direbus dan udang kering bersama dan masukkan dalam peruk utama yang ada air rebusan tadi. Rebus kulit udang dan kisar bersama airnya (biar sejuk dulu) lalu tapiskan dan campurkan air itu dalam periuk utama tadi. Kisar bawang besar dan cili kemudian tumiskan (guna dua sudu besar saja minyak masak) lalu campur sos cili. Apabila dah pecah minyak dan naik bau, masukkan dalam periuk utama. Rebus daging untuk dipotong sebagai hiasan dan airnya sahaja masukkan dalam periuk utama (ikut kesesuaian jumlah air rebusan tadi). Didihkan campuran tadi dan masukkan serai, gula secukup rasa dan sedikit garam. Garam jangan masukkan terlalu banyak sebab mi yang akan digunakan sudah masin rasanya. Inilah mi kuah ketika sedang dimasak. Bancuhkan dua sudu makan tepung jagung untuk pekatkan kuah. Jika kuah masih terlalu ciar, boleh tambah bancuhan tepung jagung sedikit demi sedikit. Rasalah kuah sama ada memenuhi selera atau tidak. Kalau dah okay dan sudah mendidik, boleh padamkan api. Masukkan Mi dalam mangkuk serta bahan-bahan hiasan dan cedokkan kuah dan bolehlah dijamu buat tetamu yang datang. Selamat mencuba!