BAGI penggemar sup, sekali sekala masak sup ketam memang nikmat rasanya lebih-lebih lagi apabila dimakan panas-panas.
Namun resipi kali ini lebih menyelerakan kerana ia ditambah dengan sambal kicap pedas dan perahan asam limau.
Berikut ini perkongsian resipi Sup Ketam bersama sayur kubis dan lobak merah daripada blog huhahuhajerr.
Bahan-bahan:
3 ekor ketam bersaiz sederhana
2 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci halia
5 biji cili api
1/2 sudu teh lada hitam
1/2 ketul kiub ayam
Satu paket sup bunjut
Daun sup
Sebiji tomato
Sekeping kek ikan (fish cake)
satu keping asam keping
Bunga kubis dan lobak merah secukupnya
Rempah 3 sekawan (bunga lawang, bunga cengkih dan kulit kayu manis)
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa
Minyak masak
Cara-cara:
Ketam perlu dibersihkan, dibuang kulit luarnya, dipisahkan dari sepitnya dan dipotong duri yang tajam pada sepit.
Kemudian bawang merah dan bawang putih ditumbuk sehingga lumat. Halia dan cili api juga diketuk sedikit.
Daun sup diasingkan daun dan batangnya serta dihiris halus. Sayur bunga kubis dan lobak merah dipotong kecil. Tomato dibelah empat atau enam. Kek ikan (fish cake) pula dipotong dadu.
Seterusnya, tumiskan bahan yang ditumbuk bersama rempah 3 sekawan sehingga naik bau.
Masukkan sedikit air, cili api dan halia. Masukkan juga sup bunjut, kiub ayam, lada hitam dan asam keping. Didihkan.
Seterusnya masukkan ketam dan kek ikan. Tambahkan air secukupnya dan biarkan terus mendidih.
Apabila sudah mendidih, masukkan sayur bunga kubis dan lobak merah. Masukkan juga batang daun sup yang diasingkan sebelumnya.
Perasakan dengan sedikit garam dan gula secukup rasa.
Apabila sup hampir masak, masukkan tomato dan kemudian tutup api. Jangan lupa taburkan daun sup di atas hidangan. Siap!