GULAI lemak antara menu yang cukup mudah disediakan tambahan pula ia tidak menggunakan bahan yang banyak.
Bagaimanapun bagi menjadikan hidangan itu berbeza dan lazat, apa kata gunakan ikan tenggiri berserta pucuk ubi kayu.
Rasa ikan yang manis dan aroma pucuk ubi kayu pasti membuka selera anda.
Bahan-bahannya:
1 kg ikan tenggiri
1 sudu makan asam jawa
200 gram pucuk ubi kayu
1 liter santan
1/2 liter air
Sebatang serai (diketuk)
5 Asam keping
Garam dan gula (secukup rasa)
(Bahan kisar)
4 biji bawang merah
6 ulas bawang putih
5 biji cili padi (ikut citarasa)
1 sudu serbuk kunyit
1 cawan air
Cara-cara membuatnya:
Cuci ikan tenggiri dengan air bersih dan lumurkan ikan tadi dengan air asam jawa.
Masukkan bahan kisar, santan, air, serai dan asam keping ke dalam periuk dan didihkan menggunakan api perlahan.
Apabila kuah sudah mendidih, masukkan ikan tenggiri berserta pucuk ubi kayu dan gaul rata.
Biarkan ia masak dalam 10 ke 15 minit dengan api perlahan.
Akhir sekali perasakan dengan gula dan garam sebelum dihidangkan.