suria

Penjawat awam boleh tarik nafas lega, PM umum gaji dinaikkan bermula Disember

Anwar umum kenaikan gaji penjawat awam pada kadar lebih 13 peratus bermula Disember.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan gaji penjawat awam akan dinaikkan bermula 1 Disember depan.

Menurut Anwar, penjawat awam akan menerima pendapatan bulanan keseluruhan minimum RM2,000 di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dirombak.

"Pada masa ini, pendapatan keseluruhan minimum penjawat awam ialah RM1,765. Kriteria dan ukuran baharu akan diperkenalkan, pendapatan keseluruhan minimum termasuk elaun ialah RM2,000.

"Skim itu pada mulanya dirancang untuk dilaksanakan pada Januari tahun depan tetapi akan dilaksanakan untuk gaji Disember mereka.

"Kenaikan gaji kakitangan awam biasanya 13 peratus. Apabila kita memulakan SSPA tahun depan, kenaikan gaji akan lebih tinggi daripada 13 peratus," ujarnya.

Anwar berkata demikian semasa berucap di acara Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu.

Jelasnya kerajaan perlu memperuntukkan RM10 bilion untuk pelaksanaan SPPA tahun depan.

Tambah Anwar lagi, Kerajaan Madani juga akan terus menghargai peranan para pekerja yang dilihat sebagai penggerak utama ekonomi dan pembangunan negara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain