suria

Bayi 9 bulan maut disyaki didera... Ibu gagal dikesan, 5 individu termasuk pengasuh sudah ditahan

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001- Gambar hiasan

POLIS menahan lima individu berhubung kematian seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan yang disyaki didera.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah pada Khamis lalu memaklumkan polis tentang mangsa yang sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) kerana disyaki didera.

"Kira-kira jam 10 malam hari yang sama, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara menahan dua wanita warga asing dan seorang lelaki tempatan yang merupakan teman lelaki kepada salah seorang suspek.

"Kedua-dua suspek wanita itu adalah rakan kepada ibu bayi itu, yang merupakan seorang wanita Vietnam. Selain itu, sepasang suami isteri turut ditahan kerana mereka merupakan pengasuh mangsa," katanya dalam satu kenyataan lewat malam Selasa.

Tambahnya, tangkapan dibuat secara berasingan di beberapa lokasi di Johor Bahru.

"Bayi perempuan itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.50 pagi pada 26 April dan bedah siasat mendedahkan unsur jenayah yang membawa kepada kematiannya. Kami juga sedang berusaha mengesan ibu mangsa bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambah Balveer, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 29 hingga 42 tahun dan telah diletakkan di bawah reman enam hari bermula 26 April.

"Perintah tahanan reman akan dilanjutkan sebaik sahaja tamat pada Rabu (1 Mei) kerana kami percaya dua wanita itu - rakan ibu mangsa - menjaga bayi itu untuk tempoh masa sebelum dia meninggal dunia," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kes itu menghubungi talian hotline polis negeri di talian 07-2212999 atau datang ke balai polis berhampiran.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain