KIRA-KIRA 1.4 juta data peribadi individu yang mengambil ujian Covid-19 di wilayah Paris dicuri penggodam pada pertengahan 2020. Pegawai hospital di ibu negara Perancis pada Rabu berkata, mereka memfailkan aduan kepada pejabat pendakwa Paris pada hari sama selepas mengesahkan pada 12 September bahawa serangan siber seperti itu terjadi pada musim panas. Antara data yang dicuri termasuk identiti, nombor keselamatan sosial dan maklumat hubungan orang yang diuji serta identiti dan maklumat hubungan profesional kesihatan yang mengendalikan ujian mereka, bersama dengan keputusan ujian, kata organisasi hospital itu. Namun, tidak ada maklumat kesihatan lain yang dicuri, kata mereka. Secara keseluruhan, 'fail yang dicuri itu membabitkan 1.4 juta orang, hampir kesemuanya membabitkan ujian yang diambil pada pertengahan 2020' di wilayah Paris, kata organisasi hospital itu dalam satu kenyataan. Mereka yang terjejas 'akan diberitahu secara individu dalam beberapa hari akan datang', kata mereka. Fakta kes itu juga dilaporkan kepada pengawas data Perancis, CNIL, dan Badan Nasional Perancis untuk Keselamatan Sistem Maklumat (ANSSI). CNIL menyatakan telah 'membuka penyiasatan terhadap pelanggaran itu'. Penggodam tidak menyasarkan fail pengujian nasional melainkan 'perkhidmatan selamat untuk berkongsi fail', yang digunakan pada bulan September 2020 untuk menyampaikan maklumat 'berguna untuk mengesan kontak' ke pelbagai pihak kesihatan. Kementerian kesihatan juga menyatakan bahawa ia memutuskan untuk memfailkan aduan supaya 'tindakan diambil terhadap pihak dipertanggungjawab atas kebocoran maklumat itu, kesannya, dan semua langkah yang perlu diambil untuk mencegah pengulangan kejadian seperti itu'. — AFP Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI