TIDAK berbaloi! Itu yang boleh dikatakan dengan hukuman yang terpaksa ditanggung oleh seorang ahli perniagaan bertaraf jutawan. Anthony Haines, 51, sebelum ini sudah diperintahkan mahkamah agar tidak menghubungi bekas pasangannya, Jane selepas mereka bercerai. Namun disebabkan rasa kuat cemburu, Haines bertindak bodoh apabila memecah masuk rumah bekas isterinya itu. Hasil rakaman kamera litar tersembunyi (CCTV) di rumah Jane menunjukkan perbuatan Haines menutup elektrik sehingga menyebabkan kematian ikan kap bernilai 10,000 pound sterling (RM57,515) di kolam di halaman rumah wanita itu. Malah bos syarikat basikal itu juga merosakkan gambar Janes selain melakukan beberapa kerosakan lain. Akibat perbuatannya itu, Haines dihukum penjara 16 bulan selepas mengaku bersalah atas kesalahan pecah rumah dan melakukan kerosakan. Pendakwa raya kes itu, Laurence Jones berkata Jane tidak menunggu lama untuk mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh suaminya. "Janes berkata bekas suaminya cemburu kerana dia telah melupakan segala yang berlaku antara mereka. "Sejak mereka berpisah, Janes berkata sikap Haines membuatkan kehidupannya seperti neraka. "Dengan ancaman tersebut, Janes merasakan kehidupannya tidak selamat dan Haines berupaya mengancam hidupnya," kata Jones membaca kenyataan bertulis wanita tersebut. Haines yang digambarkan sebagai ahli perniagaan berjaya, berpisah dengan Janes pada 2018. Dia sebelum ini dipenjarakan pada 2019 kerana mengugut Janes dan teman lelakinya menggunakan pisau dapur. — Mirror [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]