suria

Tak perlu lagi guna telefon pintar! Lelaki cacah tatu kod QR untuk imbas status Covid-19

SEORANG lelaki di Itali mencacah tatu kod QR untuk memudahkan urusan harian. — AGENSI.

SEORANG lelaki di Itali bertindak luar biasa apabila mengukir tatu kod QR bagi membuktikan dirinya bebas daripada jangkitan Covid-19 dan menggunakannya ketika berkunjung ke restoran makanan segera McDonald's baru-baru ini.

Terdahulu, pencacah tatu yang dikenal sebagai Gabriele Pellerone telah mengukir ‘kod QR’ itu di lengan salah seorang pelanggannya.

Kod QR itu bermakna pelanggannya itu tidak lagi perlu mengeluarkan telefon pintarnya untuk membuktikan dirinya bebas daripada jangkitan ketika mengunjungi mana-mana kedai, kafe mahu pun restoran.

Apabila diimbas, kod berkenaan akan menunjukkan Green Pass – Aplikasi NHS seperti MySejahtera yang digunakan di Itali – sekali gus membuktikan pelanggannya itu sudah pun divaksin dan dikesan negatif atau pun pulih daripada virus Covid-19.

Dalam satu rakaman yang dibuat oleh Pellerone, ia menunjukkan seorang lelaki mengunjungi McDonald's dan apabila imbasan dilakukan pada tatu itu, ia telah mengeluarkan satu sijil Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Balut badan dengan tiga biji tembikai, lelaki cerita pengalaman ketika ‘hamil’

“Setiap individu memiliki tatu dengan alasan berbeza. Ia juga untuk mengingati detik bersejarah seperti ini,” kata Pellerone menerusi keterangan pada video yang dimuat naik.

“Setiap orang ada cerita tersendiri untuk diberitahu dan mereka ada cara sendiri untuk mentafsirkan sesuatu.”

Sijil Green Pass mula diperkenalkan di Itali pada Jun lalu bagi memudahkan perjalanan di Eropah, membolehkan orang ramai turut serta dalam sebarang aktiviti membabitkan orang ramai seperti majlis kahwin.

Sejak awal bulan ini, pas berkenaan juga diminta untuk aktiviti ‘dine in’ dan ia akan digunakan untuk mengunjungi beberapa lokasi seperti muzium, kolam renang, pawagam, gimnasium dan banyak lagi. – Mirror

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain