TIGA wanita diberkas pihak berkuasa dan dinamakan sebagai suspek utama kes pembunuhan seorang lelaki pada 2 Februari lalu.
Suspek yang masing-masing berusia 30, 38 dan 53 tahun itu turut membuang mayat mangsa ke dalam gaung.
Menurut polis, suspek sebelum itu melemaskan lelaki bertatu berkenaan di sebuah rumah tumpangan dan kemudian mengikat tanganya.
"Mereka kemudian menekap seterika ke badan mangsa sehingga dia mati," kata Ketua Polis Daerah Buleleng, Ida Bagus Widwan Sutadi.
Tiga suspek utama kes bunuh lelaki bertatu. - Gambar detikBali
Kejadian dilaporkan berlaku di Buleleng di Bali, Indonesia.
Menurut Sutadi, suspek menahan mangsa yang dikenali sebagai Pande dan menderanya selama berhari-hari di rumah tumpangan itu.
Pande akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya pada 2 Februari.
"Pande meninggal dunia secara luar biasa selepas luka teruk ditemui pada buku lali dan tangannya.
"Selain itu, terdapat kesan melecur di bahagian belakang, mata lebam, bibir terkoyak, dan calar di pinggang," kata Sutadi.
Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa termasuk pemetik api, tin ubat nyamuk, penyapu dan sudu.
“Ketiga-tiga suspek akan disoal siasat bagi mengetahui motit kejadian,” kata Sutadi.-Agensi