SEORANG budak perempuan berusia 12 tahun disahkan mengalami kerosakan paru-paru, dipercayai akibat menghisap vape selama dua tahun.
Keluarganya langsung tidak menyedari tabiat tersebut sehingga dimaklumkan oleh pihak sekolah.
Neneknya yang dikenali sebagai Ae, terkejut apabila guru di sekolah cucunya di Tambon Don Mon, daerah Satuek, Thailand memaklumkan tentang diagnosis itu.
Ae menjelaskan cucunya sebelum ini seorang pelajar yang rajin dan tekun, tetapi perangainya berubah sejak memasuki Tahun Empat.
Dia berhenti membantu kerja rumah dan sering keluar, dengan alasan mahu belajar bersama rakan-rakan.
Kanak-kanak itu kemudian dimasukkan ke Hospital Satuek selepas tiba-tiba menjadi lemah serta mengalami sesak nafas dan muntah.
ARTIKEL BERKAITAN: Padah berasap 24 jam! Lelaki jauhi vape selepas seminggu di ICU, dada ditebuk... Simptom bermula masa jogging
Doktor mendapati hampir 100 peratus paru-parunya rosak akibat menghisap vape.
Dia kini dalam keadaan kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan.
Kes kanak-kanak itu mula didedahkan di Facebook oleh Paphawarin Simlakorn, seorang petugas penyelamat dari Perbandaran Tambon Don Mon, yang memuat naik amaran supaya ibu bapa lebih peka terhadap anak-anak mereka.
Menurut Paphawarin, dia juga pernah membawa tiga lagi pelajar yang lain ke hospital selepas mereka mengalami sesak nafas dan sakit dada akibat menghisap vape.
Menurut pejabat penyelamat tempatan, seorang pelajar berusia 15 tahun di kawasan yang sama meninggal dunia pada Januari lalu selepas penggunaan rokok elektronik yang berpanjangan. -Agensi