SEORANG lelaki berada dalam keadaan kritikal selepas menikam leher dan dadanya sendiri pada Khamis.
Tindakan itu dilakukan oleh seorang warga Amerika di kawasan lalu lintas sebuah pulau di Pattaya, Thailand.
Saksi, seorang wanita tempatan yang ketakutan segera melaporkan kejadian itu kepada polis trafik Pattaya di Sukhumvit Road, daerah Bang Lamung.
Dia melihat lelaki berkenaan berlumuran darah sambil memegang pisau kira-kira 100 meter dari pondok polis.
Polis yang tiba di lokasi menemukan lelaki itu sedang duduk membaca buku, walaupun mengalami kecederaan parah di leher.
Dia memakai jeans, baju-T biru, jaket kelabu dan membalut kepalanya dengan kain putih.
Sebilah pisau berlumuran darah turut ditemukan berhampirannya.
Ketika pasukan penyelamat cuba mendekatinya, lelaki itu mula menikam dadanya sendiri berulang kali dan cuba mencederakan anggota polis.
Dia kemudiannya menghentak tanah dengan tangan sebelum tidak sedarkan diri akibat kehilangan banyak darah.
Susulan kejadian itu, pasukan perubatan segera membawanya ke Hospital Bangkok Pattaya.
Polis mengenal pasti lelaki itu sebagai Brian Okeefe Green, 35 tahun, berdasarkan pasport yang dijumpai di lokasi.
Beberapa buah buku turut dijumpai, dipercayai miliknya, dengan kandungan berkaitan kehidupan selepas mati, loss (kehilangan) dan lokasi paling berbahaya di dunia.
Setakat ini, Green masih dalam keadaan kritikal akibat kecederaan serius.
Pihak berkuasa masih menyiasat punca kejadian dan menunggu keadaannya stabil untuk mendapatkan keterangan lanjut.
Sebagai peringatan, Islam dengan tegas melarang perbuatan bunuh diri kerana ia termasuk dosa besar dan menunjukkan keputusasaan terhadap rahmat Allah SWT. -Agensi